Universiti Luar Negara Sokong UKM Mengenai Perubahan Iklim

1
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 27 Julai 2015 – Institusi pengajian tinggi harus memberi penekanan kepada kerajaan-kerajaan mengenai ancaman perubahan iklim di seluruh dunia.

Anggota-anggota sebuah rangkaian universiti di Jepun, Thailand, Indonesia, dan Vietnam bersetuju dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bahawa peranan pendidikan tinggi dalam inovasi, penggubalan dasar dan pembangunan adalah penting bagi menyesuaikan diri kepada masalah-masalah yang rumit akibat perubahan iklim.

Ketika menganjurkan sesi sidang khas video serentak rangkaian tersebut  di sini hari ini, Timbalan Naib Canselor UKM (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato’ Dr Mazlin Mokhtar, berkata UKM  sentiasa menyokong peranan utama universiti dalam membantu kerajaan untuk menangani pemanasan global dan bagaimana untuk mengurangkan kesannya.

Institusi yang mengambil bahagian dalam sidang video adalah ahli-ahli Rangkaian Universiti Bagi Iklim dan Penyelidikan Adaptasi Perubahan Ekosistem (UN-CECAR), sebuah rangkaian universiti terkemuka dan organisasi membangunkan pendidikan lepasan ijazah dan penyelidikan mengenai iklim dan perubahan ekosistem, dan sains lestari.

Prof Mazlin, yang merupakan felo antarabangsa di Pusat Penyelidikan dan Latihan UN-CECAR Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Switzerland, berkata UKM telah membentuk beberapa modul mengenai kelestarian dan kepimpinan penyelesaian.

Di antara mereka yang mengambil bahagian dalam sidang video itu adalah Prof Dato’ Dr Sharifah Mastura Syed Abdullah, pengarah Institut Perubahan Iklim (IPI-UKM) yang membangkitkan hasil kajian  penyelidikan di Batu Pahat, Johor.

Menjawab soalan daripada seorang saintis di Jepun, Prof Sharifah Mastura berkata penempatan pantai seperti Batu Pahat dan Kuala Selangor menghadapi akibat buruk kerana paras air laut meningkat dan hakisan pantai semakin ketara.

“Petani yang tinggal berhampiran pantai Batu Pahat bimbang bahawa mata pencarian mereka akan terjejas dalam masa terdekat.

“Sekurang-kurangnya satu kampung adalah terdedah kepada kejadian kenaikan air laut menjelang tahun 2020. Ia terdiri daripada pekebun kecil kelapa sawit. Kita juga membuat ramalan bagi tahun 2040. Kini kita tahu  rumah-rumah yang akan tenggelam dan yang mana mempunyai penduduk yang padat. Oleh itu, terdapat masalah hakisan,  penenggelaman dan air masin,” beliau menjelaskan kepada seorang penyelidik Jepun di Universiti Tokyo.

Menurut Pengarah IPI itu, perubahan iklim masih belum mandatori   diambilkira dalam pelan pembangunan di Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa UKM mungkin institusi yang paling  terkehadapan di Malaysia yang menitikberatkan perubahan iklim dalam rancangan pembangunan lestari.

Universiti-universiti luar negara memberi soalan kepada kumpulan pelbagai disiplin penyelidik di Malaysia mengenai kursus lepasan ijazah dalam membina daya tahan terhadap perubahan iklim.

Seorang lagi peserta, pakar ekonomi Prof Dr Jamal Othman dari Majlis Profesor Negara berkata sistem pendidikan di Malaysia perlu menyesuaikan kurikulum untuk meningkatkan kesedaran mengenai perubahan iklim kerana banyak isu-isu yang telah muncul sejak 20 tahun yang lalu.

Prof Jamal mencadangkan pengurangan pelepasan gas-gas rumah hijau  sebanyak 50 % menjelang tahun 2020 dari garis dasar sebagai cara yang paling rendah kos untuk mengurangkan perubahan iklim.

“Membina struktur untuk mengelakkan air laut membanjiri rumah dan tanah pertanian adalah sangat mahal dan kita perlu mencari jalan lain juga untuk mengurangkan kesan perubahan iklim,” kata perunding ekonomi tersebut.

Prof Jamal mengakui bahawa, sebagai seorang pakar ekonomi, beliau tidak mengambil berat fenomena itu pada masa lampau kerana data ketika itu masih tidak meyakinkan.

Bagaimanapun, beliau sedar bahawa perubahan iklim menjejaskan pertanian dan aktiviti ekonomi lain apabila beliau mengkaji data yang lebih baru yang menunjukkan suhu naik dan peningkatan paras air laut.

Prof Datin Dr Norizan Abdul Razak, yang telah menggunakan media sosial untuk membantu wanita luar bandar menjadi usahawan, kata bahaya perubahan iklim perlu dijelaskan kepada semua.

Beliau berkata pemanasan global dan kenaikan paras air laut adalah isu-isu yang perlu dibincangkan dalam media arus perdana, dan bukan hanya media sosial.

Dr Vivien Yew, seorang pakar antropologi, berkata kajian yang dilakukan  di kalangan masyarakat nelayan berhampiran pekan tepi pantai Tanjung Karang mendapati bahawa penduduk di sana menyedari perubahan iklim.

“Tangkapan ikan menurun. Perkampungan nelayan tahu mengenai perubahan iklim dan kenaikan paras laut, tetapi tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Kami selidik kelestarian alam sekitar, juga pada ekonomi, bagaimana kita hendak membantu mereka memperbaiki kehidupan mereka,” Dr Yew menerangkan.

Yang beliau lebih bimbang adalah penduduk-penduduk dapat melihat rumah-rumah mereka perlahan-lahan runtuh.

“Daripada 50 buah rumah di sana, 2 telah runtuh, 3 sedang runtuh. Keluarga-keluarga membantu satu sama lain dengan menopang batu-batu untuk cuba menghalang rumah-rumah daripada terus runtuh.

Beliau menambah bahawa lebih banyak yang perlu dilakukan untuk membantu masyarakat tersebut.

Universiti-universiti lain yang menyertai sesi khas ini adalah University of Tokyo di Kashima, Chulalongkorn University di Bangkok, Indian Institute of Technology di Kharagpur dan Vietnam National University, Hanoi.ukmnewsportal-bm
2

3