Universiti Perlu Bersedia Hadapi Perubahan – Naib Canselor UKM


Oleh Asmahanim Amir
Foto Abd Raai Osman

BANGI, 19 April 2017 – Dalam menjadikan universiti sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang terkemuka, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) perlu bersedia menghadapi perubahan dalam melakukan inovasi, kata Naib Canselor, Prof Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali.

Beliau berkata dari segi akademik, jika dahulu dan sekarang pelajar tidak boleh membawa telefon bimbit ke dewan peperiksaan atau perlu mematikan telefon bimbit tersebut, ahli akademik UKM perlu fikir bagaimana cara untuk memastikan telefon tersebut bukanlah salah satu punca pelajar meniru.

“Saya tidak akan salahkan pelajar jika mereka dapat mencari jawapan melalui telefon bimbit, tetapi saya akan salahkan pensyarah kerana menyediakan soalan peperiksaan yang jawapannya boleh dicari melalui telefon bimbit,” katanya semasa Konvensyen Projek Geraknovasi UKM baru-baru ini.

Beliau berkata sudah tiba masanya warga UKM memikirkan inovasi yang boleh mengatasi masalah tersebut.

“Kita bukan hanya mahukan ahli akademik sahaja melakukan inovasi, tetapi staf Pengurusan dan Profesional serta staf pelaksana juga perlu memikirkan apakah inovasi yang boleh dilakukan di pejabat masing-masing,” katanya.

Beliau turut menasihatkan warga UKM untuk sentiasa bersedia kerana UKM mensasarkan untuk mewujudkan pengurusan, pengoperasian dan institusi yang cekap.