Universiti Swasta Lebih Mudah Ubahsuai Untuk Memenuhi Keperluan Industri

Private Universities Better Able To Adapt To Industry NeedsOleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Ra’ai Osman

BANGI, 4 Mac 2015 – Institusi Pengajian Tinggi Swasta tempatan didapati lebih mudah menyesuaikan diri untuk menghasilkan graduan yang boleh memenuhi permintaan pasaran berbanding universiti-universiti awam.

Satu forum anjuran Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini bersetuju bahawa universiti awam perlu lebih berdaya saing bukan sahaja dalam usaha menarik pelajar tetapi juga dapat menghasilkan graduan yang lebih disegani dan dihormati.

Peserta forum bertajuk ‘ Tujuan Universiti’ mengakui terdapat perbedaan anggapan terhadap universiti swasta dan universiti awam bergantung pada matlamat asal penubuhan sesebuah universiti dan apakah objektif itu masih relevan dalam suasana pasaran kerja yang semakin berdaya saing serta sentiasa berubah-ubah.

Pandangan itu telah diutarakan oleh Felo Penyelidikan Utama KITA Datuk Dr Denison Jayasooria.

Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali menetapkan nada perbincangan akademik dengan mengakui terdapat kebimbangan yang semakin meningkat bahawa universiti menjadi semakin usang.

“Tujuan asal universiti ditubuhkan telah berubah. Ada yang berpendapat universiti pun mungkin pupus suatu hari nanti. Saya tidak fikir begitu.

“Ada penyelidik yang bercakap tentang kertas ilmiah. Sekarang sektor swasta meminta universiti sama ada boleh menghasilkan pekerja yang mereka perlukan. Adakah mereka benar-benar mengambil berat terhadap apa yang anda lakukan? Ya, universiti adalah penting. (Tetapi) peranan universiti sudah berubah. Universiti mesti bersedia transformasi tanpa mengorbankan matlamatnya dan tanpa menjejaskan apa yang sepatutnya universiti melakukan,” ujar beliau.

Prof Noor Azlan bagaimanapun lebih khuatirkan kualiti pelajar yang memasuki universiti selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan berkata bahawa kualiti pelajar adalah lebih penting daripada kuantiti.

Beliau bimbang apakah universiti awam boleh berpuas dengan apa yang mereka telah mencapai, seperti menulis tesis penyelidikan atau penerbitan kertas, sehingga ianya terperangkap dengan kebiasaan dan takut kepada perubahan.

Mantan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak mengeluh bahawa pendidikan sudah menjadi satu industri atau ekonomi sampingan dan kini adalah sebahagian daripada pasaran.

Universiti kini tidak lagi berfungsi sebagai universiti tetapi sudah berubah menjadi sebuah kilang mengeluarkan modal insan.

“Pada suatu masa dahulu universiti mengetuai industri. Sekarang pasaran yang menentukan apa universiti harus lakukan,” katanya.

Prof Dzulkifli yang kini Presiden Pertubuhan Universiti Antarabangsa (IAU) berkata universiti adalah milik masyarakat dan harus berkhidmat kepada rakyat.

“Universiti tidak boleh dipetak-petakkan dan dikhususkan. Ia mesti dilaksanakan secara holistik, seperti institusi semasa zaman kegemilangan Islam,” tegas beliau.

Idea bahawa universiti menjadi satu aktiviti komersil juga dibincangkan oleh Naib Canselor dan Presiden Taylor’s University Prof Dato’ Dr Hassan Said, yang berkata universiti itu sedang menimbang memberi penekanan lebih kepada pengajaran secara talian, iaitu Blended Learning.

“Dengan cara itu, kita boleh mengajar lebih ramai pelajar dan mereka tidak perlu datang ke kampus untuk menghadiri kuliah,” kata Prof Hassan, yang menjelaskan bahawa para pelajar dan pensyarah sering merungut mengenai kekurangan tempat letak kereta dalam kampus.

Blended Learning adalah satu program pendidikan formal di mana pelajar belajar beberapa bahagian kurikulum melalui kandungan dalam talian dan pengajaran melalui media digital secara interaktif dengan beberapa pilihan dari masa ke semasa dan pada kadar yang mereka selesa dan boleh ikuti.

Walaupun masih datang ke kampus, kaedah kuliah bersemuka digabungkan dengan aktiviti komputer dalam talian.

Ketua Pegawai Eksekutif Asia Pacific University of Technology and Innovation (APU) Datuk Dr Parmjit Singh berkata institusi swasta tidak seperti universiti awam. Kebanyakannya berada di Kuala Lumpur dan bertindak mengikut keperluan pasaran.

Beliau percaya institusi swasta memenuhi keperluan lepasan sekolah yang bimbang apakah mereka boleh mendapat pekerjaan kiranya mereka belajar di universiti awam.

Bagaimanapun Dr Parmjit berpendapat badan yang mengawal selia institusi swasta seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) perlu membenarkan institusi swasta menentukan yuran dan bilangan pelajar asing yang boleh berdaftar.

“Pendidikan swasta dipacu pasaran. Kita lebih menumpukan kepada pelajar,” jelas beliau.

Beliau juga bimbang dengan kemerosotan bilangan pelajar yang layak, tetapi memberi jaminan bahawa APU tidak akan berkompromi dengan kualiti kemasukannya.
ukmnewsportal-bm