Usah Salahkan Internet Kanak-Kanak Ketagih Media Sosial – MCMC

01
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 16 Dis 2015 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)  akan keluarkan Garis Panduan untuk ibu bapa menangani anak yang menghadapi ketagihan media sosial dalam talian.

Ini kerana ketagihan dalam talian dikalangan kanak-kanak  tidak harus dipersalahkan kepada penggunaan kemudahan internet, kata Eneng Faridah Iskandar, Pengarah Kanan Bahagian Jangkauan dan Penglibatan MCMC.

Eneng Faridah berkata kajian menunjukkan faktor keperibadian seseorang itu yang menyebabkan ketagihan kepada media sosial.

“Media sosial itu merupakan alat atau peranti; dan seperti alat lain boleh  disalahgunakan oleh mereka yang ada faktor personaliti yang mendedahkan seseorang itu untuk berisiko tinggi menjadi ketagih apabila berhadapan dengan internet.

“Faktor personaliti itu ialah neurotisisma, psikotisisma dan penggunaan melampau mekanisme bela diri yang tidak matang.

“Bukan internet yang sebenarnya menyebabkan ketagihan, tetapi terdapat ciri-ciri yang menjurus kepada gangguan mental yang mendorong seseorang itu untuk terpengaruh dan akhirnya menjadi ketagih kepada internet,” Eneng Faridah menerangkan pada Forum Integriti dan Etika Pengurusan Maklumat di Media Sosial, anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.

Eneng Faridah juga menasihatkan pengguna media sosial supaya menggelakkan daripada berkongsi maklumat yang mungkin menjejaskan keselamatan negara.

“Bagi penjawat awam, be careful about sharing confidential information, umpamanya seorang isteri yang menulis mengenai suaminya yang anggota tentera yang berkhidmat di kawasan yang rahsia,” katanya.

Seorang lagi ahli panel forum tersebut Dr. Mohamad Rizal Abd Rahman, pensyarah di Fakulti Undang-Undang, menjelaskan bahawa internet di Malaysia dari segi teknikal tidak ‘ditapis’ kerana di bawah undang-undang negara, pihak berkuasa tidak menyunting kandungan mana-mana laman sesawang atau mencoret halaman.

Menurut undang-undang, sebuah laman sesawang yang dihalang daripada diakses, atau ‘disekat’ sebenarnya bukan penapisan kerana kerajaan atau syarikat perkhidmatan internet tidak mengubah sebahagian atau semua kandungan

“Bayangkan anda mahu pergi ke  satu rumah, dan anda akan ditunjukkan jalan dan akhirnya anda sampai ke destinasi anda. Anda lihat rumah, tetapi dihalang daripada memasukinya. Ini mungkin sekatan, tetapi sudah pasti bukan  penapisan.

“Tetapi jika anda ingin mencari tempat terletaknya rumah itu daripada buku panduan, dan alamat dipadam atau ditutup dengan dakwat penanda, itu memang penapisan,” jelas beliau.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa masih ada perbahasan hangat di kalangan ramai pengguna internet mengenai amalan yang mereka masih menganggap sebagai penapisan.

Sementara itu, Prof Madya Dr Ali Salman, pensyarah Pusat Pengajian Media dan Komunikasi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), menasihatkan pengguna media sosial supaya berhati-hati sebelum mereka meluahkan perasaan melalui catatan.

“Sebelum kita kongsi satu maklumat di media sosial, tentukan apa yang nak ‘share’. Saya sendiri tidak boleh ‘share’ everything kerana ia mungkin memalukan.

“Kini dunia ‘knowledge society’. Bagi UKM, kalau tidak puas hati dengan UKM, jangan buat begitu. Ada saluran-saluran tertentu. Sebelum kita ‘share’ sesuatu, fikir masak-masak.

“Maka, media sosial boleh cetus huru-hara kalau menyentuh agama dan kaum di Malaysia,” kata beliau.

Forum ini dipengerusikan oleh Rajan A/L Munusamy, Pegawai Integriti Bertauliah di UKM.

Turut hadir Pengarah Profesional UKM, Prof Madya Dr Rohayu Abdul Ghani.ukmnewsportal-bm

888888

03

04

05

06