Usahawan Jepun Puji Malaysia Sebagai Negara Contoh Kepimpinan Wanita

Japanese Entrepreneur Praises Malaysia For Women LeadershipOleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Ra’ai Osman

BANGI, 1 Mac 2015 – Jepun perlu mengambil iktibar dari Malaysia dalam usaha menggalakkan lebih ramai wanita menjadi pemimpin dalam sektor awam dan swasta.

Pakar runding perniagaan dan pemimpin masyarakat wanita di Jepun, Miyako Kodama berkata wanita yang bekerja di Jepun seolah-olah tidak mempunyai cita-cita tinggi untuk maju walaupun Jepun juga menetapkan kuota 30% untuk wanita berada dalam pengurusan tertinggi seperti mana di Malaysia menjelang tahun 2020 nanti.

Berucap di Bengkel Antarabangsa Mengenai Kepimpinan Wanita di sini hari ini, Kodama, seorang pensyarah di Nagoya University of Business and Commerce, kagum dengan kemajuan yang dicapai oleh wanita di Malaysia, terutamanya dalam sektor awam.

Kodama telah mengetuai suatu delegasi lapan orang wanita dari Kyushu University untuk menghadiri bengkel yang dianjurkan bersama oleh Rangkaian Alumni Pusat Perniagaan universiti Jepun dan Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Mereka juga akan melawat beberapa syarikat tempatan serta jabatan kerajaan di Putrajaya.

Kodama berkata wanita Jepun menghadapi halangan-halangan seperti tradisi dan budaya kerja yang konservatif ketika bersaing untuk menyandang jawatan tinggi dalam bidang pilihan mereka.

Beliau berkata kebanyakan wanita Jepun yang mempunyai kerjaya terpaksa beralah kepada rakan lelaki mereka ketika membuat keputusan pengurusan.

Wanita di Jepun biasanya kurang tegas di tempat kerja walaupun berkebolehan kerana menghadapi beberapa halangan budaya. Masyarakat di Jepun masih kuat dipengaruhi kaum lelaki dan wanita umumnya tidak digalakkan menyerlah atau bersuara lantang, tambah beliau.

“Budaya Jepun adalah amat seragam. Kami sukar menerima perubahan. Walaupun kerajaan Jepun telah menyasarkan 30% wanita berada dalam pengurusan, budaya dan pemikiran orang Jepun menyebabkan ia akan mengambil masa yang lama untuk berubah,” katanya.

Sasaran 30% pada tahun 2020 itu hanyalah suatu panduan dan tidak dikuatkuasakan kerajaan. Beliau ragu dengan sektor korporat yang tidak serius menepati sasaran kecuali apabila menghadapi kesukaran untuk mengambil pekerja berpengalaman.

Kodama juga berkata bahawa sukar bagi wanita untuk menyambung kerjaya mereka selepas mengambil cuti panjang tanpa gaji untuk menumpu perhatian kepada keluarga.

Beliau bagaimanapun percaya telah wujud perkembangan positif dalam amalan pekerjaan memandangkan negaranya kini menghadapi kekurangan tenaga kerja mahir.

Majikan, terutamanya syarikat-syarikat kecil dan sederhana, kini terpaksa mencari orang yang berbakat dan berkebolehan dengan menerima semula pekerja wanita yang berhenti kerja untuk menjaga anak.

Kodama juga berpendapat wanita di negaranya tidak cukup tegas apabila menuntut gaji lebih tinggi atau imbuhan yang lebih baik.

Oleh kerana kekangan budaya, terdapat persepsi bahawa seorang wanita yang berjaya menjadi pemimpin akan kehilangan sifat kewanitaan dan perlu berkelakuan seperti lelaki untuk dihormati oleh pekerja lelaki, katanya.

Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Profesor Madya Dr Madeline Berma yang turut berucap di bengkel itu berkata walaupun wujud sasaran 30% yang ditetapkan kerajaan, wanita perlu bekerja lebih keras berbanding lelaki untuk membuktikan kebolehan mereka.

Sasaran 30% itu, katanya, lebih berkesan dalam sektor awam daripada sektor swasta kerana “masih terdapat beberapa halangan dalam sektor korporat berbanding perkhidmatan kerajaan”.

Beliau, bagaimanapun, berkata kaum wanita sendiri juga yang menghalang wanita lain yang bercita-cita tinggi daripada dinaikkan pangkat ke jawatan pengurusan.

Wanita juga menghadapi masalah untuk naik pangkat kerana mereka menjadi sasaran gosip dan umpatan di kalangan wanita lain yang iri hati, tambah beliau.

Bengkel itu adalah sebahagian daripada Kerusi Kepimpinan Wanita di Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim.
ukmnewsportal-bm