Usahawan Muda Diminta Bersabar

01
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

Foto Shahiddan Saidi

MANTIN, N.SEMBILAN, 21 Nov 2015 – Belia perlu bersabar apabila menjalankan perniagaan.

Mereka harus mengawal emosi apabila berhadapan dengan keadaan yang mencabar perasaan, kata Timbalan Naib canselor UKM (Akademi dan Hal Ehwal Antarabangsa) Prof Dato’ Ir Dr Riza Atiq Abdullah O.K. Rahmat.

Mengendalikan perniagaan adalah salah satu cara beribadah dan perlu banyak kesabaran, kata Prof Riza Atiq.

“Sifat  sabar salah satu daripada sifat mahmudah, bahkan ia sangat diperlukan di dalam kehidupan. Berniaga merupakan salah satu cara memajukan agama, bangsa dan negara,” kata beliau pada majlis penutup Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) 2.0, di sini hari ini.

Menurut beliau, kesabaran dan tabah hari sangat penting kerana usahawan tersebut diharapkan akan dapat membantu orang lain.

“Moga-moga usahawan yang ada dalam program ini dapat memberi peluang pekerjaan dan juga meningkatkan ekonomi negara. Justeru dapat mengelakkan manusia daripada menganggur yang dilarang oleh syariat. Maka dengan sekali gus tenaganya dapat dimanfaatkan oleh orang lain,” beliau menerangkan.

TUBE 2.0 ialah inisiatif Kerajaan untuk membantu dan menyokong keusahawanan di kalangan remaja.

Kira-kira 50 belia dari Negeri Sembilan menyertai program ini di Kem Program Latihan Khidmat Negara  (PLKN) di Mantin yang dianjurkan oleh UKM dan 10 pusat keusahawanan lain dibawah pimpinan Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan Kecil dan Sederhana ( UKM-CESMED) Prof Madya Datin Dr Shamshubaridah Ramlee.

Majlis ini ditutup oleh pengerusi Exco jawatankuasa bertindak kemudahan awam, alam sekitar, koperasi dan kepenggunaan Negeri Sembilan Dato’ Hj Abu Ubaidah Dato’ Hj Reza.

Turut hadir  Pengerusi SME Corp Dato’ Dr Hafsah Hashim.

Program ini bermula pada 1 November, dan majlis penutup dan penyampaian sijil TUBE 2.0 kepada peserta yang berjaya telah dilangsungkan secara serentak di 10 Kem PLKN seluruh negara.ukmnewsportal-bm
02

03

04

05