Virus Perlu Hos Untuk Hidup


Oleh Mohamad Arif Haziq & Aini Hidayah

BANGI, 27 April 2020 –  Virus adalah satu organisma mikroskopik yang memerlukan hos seperti manusia atau haiwan untuk hidup. Virus hanya akan aktif dan hidup apabila ia mempunyai hos dan ia juga boleh hidup dalam hos yang berbeza malah setiap virus mempunyai cara penyebaran yang berbeza.

Ketua Program Mikrobiologi Fakulti Sains Teknologi (FST), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Norefrina Shafinaz Md Nor berkata virus boleh disebarkan melalui cecair atau secara cross-contact antara manusia dan haiwan atau melalui sentuhan di bahagian yang sudah terkontaminasi oleh virus dan sebagainya.

“Walaupun virus memerlukan hos untuk hidup, namun virus tetap boleh tersebar melalui permukaan yang mati seperti tombol pintu dan sebagainya,” katanya.

Dr. Norefrina turut menjelaskan bahawa virus boleh hidup di sebuah permukaan sehingga sembilan hari.

Katanya, virus juga boleh berubah apabila berada dalam hos-hos yang berlainan, virus tersebut akan mengambil genome daripada hos dan menyebabkan mutasi.

“Mutasi inilah yang merubah virus tersebut dari hanya menjangkiti haiwan sehingga ia turut boleh menjangkiti manusia.

“Contohnya seperti COVID-19 yang berasal dari kelawar, lalu menjangkiti manusia sehingga menjadi satu pendemic dan masalah kepada seluruh dunia,” jelasnya.

Beliau berkata tindakan kerajaan mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah langkah bijak dalam mengurangkan kenaikan jumlah pesakit yang dijangkiti Coronavirus Disease 2019 (COVID-19) ini terus menular ke seluruh Malaysia.