Warga UKM Hargai Pengorbanan Pejuang Negara

1
Oleh Tengku Nursharina Tengku Amri
Gambar oleh Izwan Azman

BANGI, 24 Ogos 2016 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menghargai pengorbanan pejuang dan perwira negara yang telah bersusah payah dalam membangunkan Malaysia, kata Naib Canselor UKM Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali.

Beliau berkata para perwira suatu masa dahulu sanggup bergadai nyawa dan kehilangan ahli keluarga kerana mahu membawa Malaysia mencapai kemerdekaan dan perkara ini patut dicontohi oleh semua untuk memangkinkan pembangunan di Malaysia.

“Marilah kita berfikir sejenak, memahami dan mewujudkan rasa syukur dengan kemerdekaan negara.

“Dalam konteks kermerdekaan ini, renungkanlah betapa perwira negara berjuang dengan memberi segala bentuk pengorbanan untuk memastikan negara kita bebas dari belenggu penjajahan,” katanya ketika Melancarkan Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat UKM, baru-baru ini.

Beliau berkata, walaupun tarikh penubuhan UKM bukanlah tarikh kemerdekaan tetapi penubuhan universiti ini adalah hasrat rakyat Malaysia untuk melihat universiti kebangsaan pertama dibangunkan.

“Semangat bagi menjayakan visi universiti sebagai universiti kebangsaan yang hebat melibatkan kerjasama daripada semua warga universiti, termasuklah Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor, dekan Fakulti dan pensyarah bagi melahirkan sarjana yang hebat,” katanya.

Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan yang ke-59 Peringkat UKM turut disertai oleh Timbalan Naib Canselor, pengurusan tertinggi dan kakitangan UKM.ukmnewsportal-bm
2

3