Warga UKM Terus Hasilkan Perisai Muka Bantu Petugas Barisan Hadapan


Oleh Asmahanim Amir
Foto oleh FKAB, SELFUEL dan FSK

BANGI, 15 April 2020 – Warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memberi sumbangan membantu barisan hadapan dengan menyediakan perisai muka (face shield) untuk diedarkan ke hospital-hospital.

Terbaru, Pusat Kajian Diagnostik, Teraputik & Penyiasatan (CODTIS), Fakulti Sains Kesihatan (FSK) telah bekerjasama dengan NGO Penang PRIME (PPE ReIMagineering Group) telah menghasilkan 2,000 keping perisai muka untuk diedarkan kepada barisan hadapan negara yang sedang bertungkus lumus menguruskan sampel dan pesakit yang telah dijangkiti virus COVID-19.

Agihan telah dibuat ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Pengajaran Universiti Putra Malaysia.

Kerjasama ini akan diteruskan jika terdapat keperluan dari pasukan barisan hadapan dengan penambahbaikan, berdasarkan maklumbalas yang diterima.

Sementara itu, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem (JKEES) dengan kerjasama Jabatan Kejuruteraan Mekanik & Pembuatan (JKMP), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) turut menghasilkan perisai muka dan diedarkan di beberapa hospital dan klinik kesihatan.

Projek ini telah mendapat dana dari UKM, di samping menerima sumbangan kewangan dari ahli-ahli JKEES dan sumbangan bahan serta alatan daripada National Council of Women’s Organisations Malaysia (NCWO), Print eXpert Sdn Bhd dan Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI), UKM. Selain itu, ia turut mendapat sokongan daripada Pusat IDEA UKM, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan Fakulti Prubatan.

Dalam pada itu, Institut Selfuel UKM juga turut menyediakan 600 keping perisai muka yang telah ditambah baik kualitinya untuk kegunaan petugas barisan hadapan HCTM. Penghasilan perisai muka itu adalah kesinambungan kejayaan pelajar Sarjana Selfuel, Azreen Junaida Abdul Aziz yang telah menghasilakn 100 perisai muka bersama anak-anaknya di rumah bagi membantu petugas barisan hadapan.

Diharap semua projek yang dihasilkan oleh warga UKM ini akan dapat membantu membenteras COVID-19 dan Malaysia segera kembali kepada keadaan asal.