Lokman Saim dianugerah “Profesor Klinikal” oleh Universiti Australia

SELASA, 25 MEI 2010 15:44
OLEH ABDUL GHANI

Ketokohan akademik Prof. Dato’ Dr. Lokman Saim, Dekan Fakulti Perubatan dan Pengarah Pusat Perubatan UKM telah mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila beliau diberi gelaran “Clinical Professor”  oleh Macquarie University Sydney, Australia.

Perlantikan itu berkuat kuasa mulai 1 Mei 2010 untuk tempoh selama dua tahun. Surat perlantikannya itu bertarikh 20 April 2010 menyatakan bahawa gelaran itu diberikan berdasar kepada kepakaran beliau dalam bidang otorhinolaringologi (kepakaran perubatan telinga, hidung dan tekak).

Macquarie University yang mengendalikan Australian School of Advanced Medicine juga mengiktiraf  kepakaran dan reputasi beliau dalam kecemerlangan kerja klinikal, pendidikan dan penyelidikan di rantau Asia Pasifik.

Perlantikan itu membolehkan Prof. Lokman menggunakan gelaran Clinical Professor dalam semua urusan komunikasinya dan diberi taraf ahli kehormat Australian School of Advanced Medicine. Beliau juga layak menggunakan fasiliti di kampus Macquarie University termasuk menggunakan alamat email universiti itu.

Prof Lokman menyifatkan penganugerahan itu bukan sahaja satu pengiktirafan kapadanya tetapi adalah juga satu dorongan kepada semua warga Pusat Perubatan UKM dan juga UKM amnya dalam usaha melonjakan nama baik UKM di persada antarabangsa.