Perjanjian Membolehkan Ujian Klinikal Ke Atas Kulitku

KHAMIS, 20 MEI 2010 16:04
ABDUL GHANI / SHAHFIZAL

KULITKU, binaan kulit dwilapisan terjurutera yang telah berjaya dipatenkan UKM pada 2008 akhirnya akan dapat digunapakai pesakit dengan termeterainya perjanjian melesen Sistem Bilik Bersih bagi Makmal Terapi Sel dan Tisu UKM-MTDC melangsungkan ujian klinikal terhadap penggunaannya.

Perjanjian itu telah ditandatangani antara UKM dengan Cell Therapies Pty Ltd, Australia di Canselori  UKM, Bangi, hari ini (20 Mei, 2010).

Makmal yang ditubuhkan dan dibina di Pusat Perubatan UKM sejak awal tahun ini adalah kemudahan pertama cGMP (kod amalan pengilangan terbaik) untuk sel manusia dan pemprosesan tisu di Malaysia dengan ujian klinikal pertama untuk KULITKU dijangka pada pertengahan tahun 2011.

Penyelidikan terhadap KULITKU yang merupakan rawatan alternatif bagi kecederaan kulit diterajui dan diselia oleh Profesor Dr Ruszymah Idrus daripada Pusat Kejuruteraan Tisu (PKT) iaitu pusat penyelidikan manipulasi sel dan penampalan semula  tisu di bawah UKM yang ditubuhkan pada 1999.

KULITKU dijangka menjadi pembuka jalan kepada penggunaan produk inovasi Pusat Kejuruteraan Tisu yang lain seperti rawan, tulang, kornea dan terapi berasaskan sel/tisu seumpamanya termasuk sel stem untuk pesakit di negara ini.

Kemudahan itu akan bertindak sebagai hab untuk inovasi bioteknologi yang lain daripada universiti di Malaysia dan rantau ini.

Fasiliti dicadangkan itu akan mempunyai beberapa bilik bersih dan kemudahan ujian produk. Ia juga dibina khusus untuk pemprosesan sel dan tisu manusia bagi ujian klinikal dan berkemampuan sepenuhnya untuk pengilangan dan pengeluaran berdasarkan cGMP.

KULITKU akan digunakan bagi menggantikan rawatan teknik mencantum kulit koyak di mana satu lapisan kulit diambil daripada bahagian tubuh yang sihat dan ditampal ke atas luka berkenaan. Cara ini didapati mempunyai beberapa kelemahan.

Hasil penyelidikan PKT itu , pada 2004 pusat berkenaan memfailkan paten untuk KULITKU yang ‘autologus’ iaitu sumber biologi (tisu) terlibat diambil sepenuhnya daripada seseorang individu dan kulit terjurutera itu kemudian ditampal balik ke atas individu yang sama.

Kaedah autologus sepenuhnya ini menghapuskan risiko penolakan imuniti dan pencemaran silang dan ianya juga kulit dwilapisan berketebalan penuh.

Biopsi awal untuk membina kulit gantian ini hanya sebesar 3cm2 dan selepas memisahkan kultur keratinocytes dan fibroblasts (sel yang membina lapisan epidemis dan dermis kulit), satu gantian sebesar 100cm2 boleh dihasilkan.

Prosedur ini menghasilkan parut yang minimum kerana hanya secebis kecil kulit diperlukan daripada penderma. Kaedah ini bukan saja dapat mengurangkan kesakitan tetapi juga mengurangkan risiko jangkitan terutamanya pesakit yang telah lemah kadar penyembuhannya.

Sejak pembinaan kemudahan makmal untuk sel manusia dan pemprosesan tisu cGMP bermula di tingkat 12, Pusat Perubatan UKM, pihak universiti telah mendapat khidmat pakar runding, Cell Therapies Pty Ltd (CT) dari Melbourne, Australia.

CT di bawah pengarah urusannya, Raymond Wood, ialah syarikat yang ditubuhkan untuk menguruskan bahagian komersial bagi pengeluaran sumber berlesen bagi Peter MacCallum Cancer Center.

CT mempunyai pengalaman 9 tahun dalam terapi sel termaju melibatkan lebih 1000 produk dihasilkan dalam setahun. Perkhidmatannya merangkumi penyewaan makmal hinggalah kepada perancangan dan pelaksanaan ujian klinikal bersepadu yang melibatkan produk terapi sel dikilangkan dalam kemudahan yang diakreditasi kod cGMP dan Therapeutics Goods Administration (TGA).

Cell Therapies beroperasi di bawah amalan pengeluaran yang ketat dan pengalaman meluas CT dalam membangunkan makmal-makmal cGMP di Australia akan membantu UKM dalam proses membangunkan bilik bersih dan diakreditasi.

Majlis menandatangani perjanjian lesen di antara Raymond Wood, Pengarah Urusan Cell Therapies Pty Ltd,  dan Prof. Dato’ Dr. Mohammed Noor Embi, Pengarah Pusat Inovasi dan Kolaboratif, UKM adalah satu lagi pencapaian membanggakan bagi UKM dan barisan penyelidiknya.

Ia juga sekaligus menandakan pemindahan sistem kualiti bertaraf antarabangsa ke UKM-MTDC cGMP fasiliti yang merupakan langkah penting bagi meningkatkan pengeluaran fasiliti cGMP untuk pasaran rantau ini dan antarabangsa.