75% Dari Saintis, Penyelidik Perlu Berkelulusan PhD Dalam Tempoh Lima Tahun

Khamis, 09 Disember 2010 17:26

Oleh Kuah Guan Oo
Foto oleh Dr. Hidayatulfathi Othman

KUALA LUM[PUR, 9 Dis. 2010 – Kerajaan mahu 75% para saintis dan penyelidik negara berkelulusan doktor falsafah (PhD) menjelang akhir Rancangan Malaysia ke-10 pada 2015.

Ini bukan saja akan meningkatkan kualiti penyelidikan dan inovasi tetapi juga menambah bilangan pemegang PhD dalam negara, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dn Inovasi Dato’ Hj Fadillah Yusof semasa merasmikan Simposium Antarabangsa Sains Kesihatan ke-8 di Hotel Rennaisance di sini hari ini.

Simposium dua hari dengan tema  “Inovasi dan Kelestarian Penyelidikan Dalam Sains Kesihatan”  dianjurkan oleh Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kira-kira 50 kertas kerja akan dibentangkan oleh saintis dan penyelidik dari Australia, Amerika Syarikat, Indonesia, Singapura, negara Thai dan Malaysia.

Antara isu yang akan diketengahkan ialah persekitaran, masyarakat, audiologi, terapi pertuturan, pemakanan dan penjagaan kesihatan.

Fadillah berkata paras kesihatan rakyat perlu ujud di peringkat terbaik bagi memastikan produktiviti yang optima. Oleh sebab itu, beliau berharap simposium itu akan digunakan oleh para saintis dan penyelidik untuk menonjolkan penyelidikan dan inovasi mereka bagi kebaikan kesihatan rakyat dan pembangunan negara.

Kerajaan dalam proses transformasi untuk melonjak negara ke status sebuah negara maju mahukan pembangunan merangkumi semua bidang termasuk aspek sosial, ekonomi, persekitaran dan kebudayaan.

Naib Canselor UKM Prof Tan Sri Dato’ Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dalam ucapannya mengimbas kembali bagaimana UKM  mengambil langkah berani mengujudkan Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu pada 1980an dengan hanya beberapa orang pensyarah sahaja.

Kini fakulti itu telah mengeluarkan ratusan graduan untuk memenuhi keperluan negara mengadakan pegawai sains kesihatan yang profesional, katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Prof Dato’ Dr Lokman Saim, pengarah Pusat Perubatan UKM merangkap Dekan Fakulti Perubatan UKM.

Beliau berkata pegawai sains kesihatan boleh mempengaruhi pandangan ramai dan dengan itu harus berusaha mengatasi isu-isu kesihatan semasa seperti penyakit kencing manis dan darah tinggi, masaalah kegemukan dan kebajikan kanak-kanak cacat.