Bengkel Pakar Untuk Merumus Input Mengenai Perubahan Iklim & Biodiversiti Kepada Kerajaan

Isnin, 13 Disember 2010 16:40

Oleh Kuah Guan Oo
Foto oleh Saliman Leman

BANGI, 13 Disember 2010 – Satu bengkel pakar dan pegawai tinggi sedang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk berbincang dan merumuskan input membantu Kerajaan merangka dasar terhadap impak perubahan iklim ke atas biodiversiti negara.

Bengkel dua hari bertajuk “Perubahan Iklim & Biodiversiti: Menggerakkan Agenda Penyelidikan” dianjurkan bersama oleh Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) UKM, Majlis Profesor Malaysia (MPN), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), Kementerian Pengajian Tinggi (MOHE), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).

Timbalan Naib Canselor UKM (Hal Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dr Rahmah bt Mohamed ketika merasmikannya berkata bengkel itu bertujuan menumpukan perhatian terhadap pelbagai isu berkaitan perubahan iklim dan impaknya ke atas biodiversiti di Malaysia.

Isu-isu tersebut adalah kompleks dan tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana satu organisasi sahaja. Maka itu bengkel tersebut telah mengumpulkan pakar serta pegawai tinggi dari pelbagai disiplin dan pertubuhan bagi merumus syur dan input untuk dimajukan kepada kerajaan pusat.

“Oleh sebab itu, hasil bengkel ini amat penting untuk menentukan gerak balas kita bagi menghadapi impak perubahan iklim ke atas biodiversiti dari segi kepupusan dan kekurangan berbagai spesi tumbuhan dan hidupan. Sintesis bengkel ini akan diserah untuk maklumat dan tindakan Kerajaan,” katanya.

Perubahan iklim, katanya, adalah satu fenomena global yang mengancam hidupan. Ini terbukti dengan banyak kejadian cuaca melampau seperti kemarau panjang atau hujan lebat luar biasa hingga membawa kepada banjir besar yang telah memusnahkan sumber air, ekosistem, kawasan pantai, harta benda dan nyawa.

Perubahan iklim juga membawa impak yang teruk ke atas biodiversiti dari segi kemusnahan dan pengurangan spesi hidupan dan tumbuhan.

Didapati bahawa perubahan iklim telah menukar corak pembiakan dan penaburan spesi tertentu selain dari menambahkan kejadian wabak penyakit serta membanyakkan makhluk perosak.

Biodiversiti juga berperanan mengurangkan impak buruk selain dari boleh menyesuaikan keadaan kepada perubahan iklim.

“Biodiversiti menyumbang kepada banyak perkhidmatan ekosistem termasuk peruntukan makanan manusia dan binatang, kitaran nutrien dan penyenggaraan aliran hidrologi. Dari segi ini, penyenggaraan biodiversiti dan ekosistem berkenaan adalah satu komponen penting dalam penyesuaian akibat perubahan iklim.”

Prof Rahmah berharap bengkel itu akan mengenal pasti kekosongan ilmu mengenainya supaya mereka dapat mengenal pasti dan mengutamakan keperluan penyelidikan mengenai perubahan iklim dan biodiversiti.

UKM, katanya, dengan mempunyai seramai 2254 orang ahli akademik yang pakar dalam berbagai bidang telah mengambil peranan penting dalam usaha menyelidik perubahan cuaca dan biodiversiti.

Antara penceramah dan pembentang kertas kerja di bengkel itu ialah Dr Lian Kok Fei, Setiausaha Bahagian NRE; Prof Emeritus Dato’ Dr Abdul Latiff Mohamad, ketua Bahagian Kepelbagaian Fauna MPN; Dr Abd Rahim Nik, Timbalan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Hutan Malaysia; Dato’ Dr Dionysius Sharma, ketua pegawai eksekutif World Wildlife Fund for Nature Malaysia.

Pakar lain ialah Dato’ Dr Abd. Shukor Abd Rahman, ketua pengarah MARDI; Ir. Hj Ahmad Jamalluddin Shaaban, ketua pengarah Institut Penyelidikan Hidraulik Nasional (NAHRIM); Dr Wan Azli Wan Hasan, pengarah (Bahagian Teknikal) Jabatan Kaji Cuaca; Prof Dr Nor Aieni Haji Mokhtar, pengarah Lembaga Pengarah Oseanografi Nasional MOSTI dan Dato’ Dr Hj Abdul Rahman Abdul Rahim, timbalan ketua pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.