OPKOM ke-19 Ruang Pelajar Berbakti kepada Masyarakat

Isnin, 13 Disember 2010 13:49

Oleh Abdul Razak Hussin
Foto oleh Abdul Razak Hussin

PERMAS JAYA, 12 Dis. 2010 – Penyertaan pelajar universiti dalam program kemasyarakatan merupakan ruang yang luas bagi mereka menabur bakti kepada masyarakat, kata Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohammed Khaled Nordin.

Berucap merasmikan Operasi Khidmat Masyarakat Optometri (OPKOM) ke-19 yang dianjurkan Kelab Optometri, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu (FSKB) UKM dalam Karnival Jalinan Komuniti Sihat di sini, beliau berkata ini adalah sesuai dengan sistem pendidikan universiti yang sentiasa mengambil kira kepentingan masyarakat.

Karnival tiga hari itu bermula Jumaat, 10 Dis. dianjurkan bersama oleh Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Institut Jantung Negara, JASA dan Jawatankuasa Penduduk Rumah Pangsa Permas Jaya. Ia bertujuan memberi kesedaran kesihatan kepada penduduk setempat di samping menjalin hubungan langsung antara pelajar UKM dengan masyarakat tempatan.

Khalid berkata pembangunan pesat di Pasir Gudang telah mendedahkan penduduk di situ kepada pelbagai kemungkinan penyakit termasuk permasalahan sosial.

Beliau menyeru UKM mempertingkatkan program kemasyarakatan itu dengan menjalankan penyelidikan yang menyeluruh termasuk aspek kesihatan. Hasil penyelidikan tersebut amat penting kepada pelan pembangunan Pasir Gudang dalam menentukan program dan aktiviti yang perlu disediakan.

Beliau percaya OPKOM ke-19 bukan sahaja dapat mengukuhkan keilmuan pelajar tetapi mampu membina kemahiran insaniah dan menambah nilai mereka sebagai seorang insan. Ini termasuk rasa keprihatinan yang mendalam, kasih sayang sesama manusia, bertoleransi dan kecekapan berkomunikasi.

Khaled berkata bahawa universiti masih merupakan institusi yang dipandang tinggi oleh masyarakat sebagai sumber yang mampu membantu mereka menyelesaikan pelbagai permasalahan kehidupan. Justeru universiti harus sentiasa bersedia memanfaatkan kepakaran yang dimiliki untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat.

Pelbagai aktiviti diadakan dalam karnival tersebut. Antaranya pameran dan pemeriksaan kesihatan, ceramah dan demonstrasi penyediaan makanan seimbang, aktiviti untuk kanak-kanak dan golongan belia.