Program PERMATApintar Diharap Dapat Lahirkan Pemenang Hadiah Nobel

Jumaat, 17 Disember 2010 19:22

Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Saliman Leman

BANGI, 17 Dis. 2010 –Program PERMATApintar Negara diharap dapat melahirkan pelajar pintar yang pada suatu masa kelak boleh membuahkan bakat yang mendapat pengitirafan antarabangsa untuk memenangi hadiah Nobel.

Isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor yakin bahawa program PERTAMApintar yang akan menerima pelajar peringkat menengah tinggi mulai Januari ini akan dapat membangun dan mengekalkan modal insan negara bertaraf dunia.

“Program ini tentunya juga akan melahirkan modal insan negara yang kelak mewarnai dan memacu ilmu bagi meningkatkan tamadun dunia.

“Lantas tidaklah mustahil juga jika ada di antara pelajar-pelajar pintar ini yang bakal menjadi penerima anugerah Nobel pada suatu hari kelak. InsyaAllah,” katanya berucap merasmikan penutup Program Perkhemahan Cuti Sekolah PERMATApintar Negara 2010 di sini, hari ini.

Datin Paduka Seri Rosmah mengumumkan lima pelajar program itu tahun lalu yang dihantar ke Johns Hopkins University, Amerika Syarikat untuk menyertai Summer Camp 2010, telah mencapai kejayaan yang sangat baik dalam kursus kejuruteraan, bio-teknologi, zoologi dan linear Algebra.

Malah seorang dari pelajar itu, Mohd Asraf Burhani, dari Sekolah Menengah Agama Al-Maarif, Kuantan, Pahang  menjadi pelajar terbaik kursus kejuruteraan.

Mengenai lanjutan program itu, isteri Perdana Menteri menjelaskan Program Menengah Tinggi bagi pelajar pintar cerdas di tingkat empat akan diletakkan di bawah pengurusan Pusat PERMATApintar Negara UKM.

Seramai 350 pelajar dipilih untuk menyertai Perkhemahan Khas Matematik dan Sains bagi mengenal pasti mereka yang benar-benar layak menyertainya.

Walaupun pelajar berkenaan akan mengikuti kurikulum arus perdana di peringkat SPM, namun mereka juga akan ditawarkan kurikulum antarabangsa termasuk ujian kebolehan akademik SAT (Scholarstic Aptitude Test), Peringkat ‘O’ dan ‘A’  dan kursus Advance Placement serta beberapa kursus Tahun 1 Fakulti Sains dan Teknologi UKM.

Pelajar juga dikehendaki mengambil dua bahasa asing manakala bagi membantu membina jati diri dan menjadi rakyat Malaysia yang bitara, pelajar juga perlu mengambil bahagian dalam aktiviti ko-kurikulum seperti muzik, sukan, kesenian, badan beruniform dan berpersatuan.

Selain guru dipilih daripada kalangan yang cemerlang, UKM juga telah menjemput beberapa orang pakar pedagogi dari Amerika Syarikat dan Australia bagi membantu program berkenaan.

Mengenai perkhemahan itu, Datin Paduka Seri Rosmah gembira walaupun ia baru saja setahun jagung, namun ia telah berjaya mencatat beberapa pembaharuan pada tahun kedua ini.

Pertama adalah penglibatan lapan pelajar dari Brunei Darussalam, India dan Singapura yang memberi peluang kepada anak-anak kita berinteraksi dan memahami lebih dekat budaya dan adat resam satu sama lain.

Kedua terdapat pertambahan lima lagi kursus ditawarkan tahun ini menjadikan 13 kursus iaitu Crystal dan Polymer, Mathematics dan Game Theory, Flights Science, sementara kursus Green Technology dan Advanced Robotics pula dibina oleh pakar dan penyelidik UKM sendiri.

Pembaharuan seterusnya adalah pelajar didedahkan kepada aktiviti pengucapan spontan, kerja berpasukan dan aktiviti berbentuk kerohanian, kesenian dan sukan untuk memastikan perkembangan seimbang.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin yakin Program PERMATApintar berpotensi menjadi ikonik dan jenama yang dibanggakan bagi negara.

Pusat berkenaan sedang berusaha mendapatkan dana tambahan daripada pihak swasta untuk membantu pelajar pintar belajar dengan selesa tanpa memikirkan masalah kewangan.

“Ini penting kerana hampir dua pertiga daripada pelajar dalam program ini adalah anak-anak luar bandar dan sebahagiannya tinggal di kawasan terpinggir,” katanya.

Prof Sharifah Hapsah menekankan betapa pakar UKM telah menunjukkan kesungguhan dalam menjayakan program itu dan banyak lagi modul-modul baru akan dibangunkan bagi mencabar kanak-kanak pintar di perkhemahan cuti sekolah akan datang.

“Dengan itu satu hari nanti Malaysia, melalui UKM pula akan menjadi konsultan dan pusat rujukan kepada negara lain yang berminat untuk membina program pintar cerdas seperti di Pusat PERMATApintar ini.

“Inilah harapan UKM untuk sederap dengan pusat pendidikan pintar cerdas sedia ada di seluruh dunia seperti di Lita Hollingworth Center, University of Columbia dan Center for Talented Youth, di Johns Hopkins University.

“Ia sudah pun bermula kerana Kompleks Pusat PERMATApintar Negara, sering mendapat kunjungan dari pelbagai individu dari dalam dan luar negara termasuk dari Korea, Jepun, Yemen, Kuwait  dan Arab Saudi,” katanya.

Naib Canselor juga mengumumkan bahawa fasa pertama Kompleks PERMATApintar Negara telah siap dan giat membuat persiapan bagi menerima kumpulan pelajar yang pertama yang akan mengikuti Program Menengah Tinggi pada Januari ini.

Program telah diluluskan oleh Senat UKM pada bulan September 2010 dan merupakan satu-satunya program pendidikan formal khusus untuk pelajar pintar cerdas yang ada di Malaysia.

“Saya berpuas hati dengan kurikulum yang disediakan kerana ia membolehkan pelajar menjadi seorang warga 1Malaysia yang berjati diri kebangsaan selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan UKM, di samping mempunyai nilai keboleh pasaran yang tinggi di peringkat antarabangsa.

“Anak-anak pintar ini nanti akan menjadi ilmuwan yang boleh mendorong kepada perubahan dunia yang lebih positif,” katanya.

Beliau juga menjelaskan pengajaran yang dilakukan akan menekankan konsep differentiated learning di mana pelajar akan diberi bahan pembelajaran yang berbeza mengikut kemampuan masing-masing bagi setiap tajuk pembelajaran.

Program ini melatih pelajar-pelajar untuk berfikir sebagai seorang penyelidik dalam pelbagai bidang kritikal di negara kita. Ini dilakukan melalui penglibatan pelajar dalam pelbagai penyelidikan yang diketuai oleh profesor yang ada di UKM.

Hasil penyelidikan yang dijalankan mungkin kemudiannya boleh dipertandingkan di peringkat kebangsaan atau antara bangsa dan seterusnya dibuat Copyright atau dipatenkan untuk di komersilkan.

Dari segi tenaga pengajar pula, Naib Canselor berkata UKM memberi perhatian serius kepada pembangunan bakat yang akan terus membawa  kejayaan kepada program ini di masa akan datang.

Buat masa ini 15 guru sedang dilatih untuk menggunakan kaedah mampatan, pecutan dan pengayaan bagi setiap tajuk yang diajarkan supaya pelajar dapat belajar tanpa berasa bosan.

Pengurusan UKM juga dalam proses memindahkan beberapa guru bahasa yang kini sedang bertugas di Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan ke Pusat PERMATApintar Negara.