Universiti Perlu Lahirkan Siswazah Berbudaya Inovasi Dan Keusahawanan

Rabu, 15 Disember 2010 15:32

Oleh Abdul Razak Hussin
Foto oleh Hj. Ismail Ibrahim (Penerbit UKM)

MELAKA, 13 Dis. 2010 – Pendidikan di universiti harus menyediakan ruang dan dorongan kepada pelajar membentuk budaya inovasi dan keusahawanan bagi membolehkan mereka menghadapi cabaran masa depan yang lebih besar.

Dengan itu siswazah yang lulus dari universiti kini harus menganjak paradigma daripada mencari kerja kepada mencipta kerja sendiri, demikian kata Naib Canselor Universiti Kebangsaan (UKM), Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin hari ini.

Beliau telah menyampaikan ucap utama dalam Kongres Pengajaran dan Pembelajaran anjuran Pusat Pembangunan Akademik UKM di sini hari ini.

Prof Sharifah Hapsah berkata ini adalah bersesuaian dengan perkembangan negara berasaskan model ekonomi baru yang merangsang transformasi dan pertumbuhan perniagaan, penghasilan produk dan perkhidmatan baru bagi mencipta kerjaya berpendapatan tinggi.

Dalam menghadapi cabaran ini, Prof. Sharifah menggagaskan dua tindakan iaitu menyediakan pendidikan berkualiti dan relevan serta memastikan laluan yang sesuai untuk mengangkat aktiviti penyelidikan dan pembangunan kepada inovasi dan pengkomersialan.

Bagi memastikan aktiviti tersebut berjaya dilaksanakan, universiti perlu memantapkan tadbir urus terbaik, kepemimpinan berkesan dan pengurusan bakat yang cekap.

Dengan melihat kepada komponen pendidikan, kita harus berusaha untuk melahirkan sumber manusia baru yang memenuhi keperluan ekonomi baru berasaskan ekonomi pengetahuan yang didominasi pengeluaran produk.

Sumber manusia ini harus mencipta sesuatu yang baru atau sekurang-kurangnya mempertingkat produk sedia ada menerusi penggarapan ilmu yang diperoleh dari universiti.

Dengan itu universiti harus memperkasakan pengajian pasca siswazah sebagai keutamaan dalam era ekonomi baru kerana pelajar akan lebih terlibat dalam R&D yang menjurus kepada penciptaan kekayaan hasil aktiviti penyelidikan seperti teknologi.

Memandangkan kepada keperluan infrastruktur dalam pembinaan budaya inovasi dan keusahawanan, UKM, katanya, telah menubuhkan Pusat Inovasi Kolaboratif dan Center for SME Development atau CESMED yang bertanggungjawab melaksanakan polisi, program, mengendalikan syarikat-syarikat terbitan, menggubal ganjaran dan insentif serta menjalin jaringan dengan pihak berkepentingan bagi menyokong inovasi dan keusahawanan di UKM.