Kerajaan prihatin kes buang bayi

ISNIN, 26 JULAI 2010 18:38
Oleh Shahfizal Musa

BANGI, 26 Julai 2010 – Kerajaan amat prihatin pertambahan kes pembuangan bayi baru lahir yang dibiarkan mati di tempat tidak sepatutnya seperti kawasan buang sampah maka itulah pusat menempatkan bayi ditubuhkan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat  Abdul Jalil berkata penubuhan pusat itu tidak harus disalaherti bahawa kerajaan menggalakkan kehamilan di luar perkahwinan.

Ketika melancarkan Program Kami Prihatin di UKM Sabtu lalu, beliau berkata pembuangan bayi adalah satu isu sensitif dan kementerian tidak mahu memberikan mesej yang salah. Hanya kerana pusat ditubuhkan bagi membolehkan mereka yang tidak bertanggungjawab pergi, tidak bermakna mereka diberi jalan mudah mengatasi masalah yang mereka hadapi hasil dari tindakan keterlaluan mereka.

Shahrizat berkata perangkaan polis menunjukkan ada 407 kes pembuangan bayi baru dilahirkan dari tahun 2005 hingga tahun lalu. Polis merekodkan 67 kes pada 2005 dan ini bertambah kepada 87 pada 2006, 76 pada 2007 dan 102 pada 2008. Pada tahun lalu ia berkurangan kepada 79 kes manakala dalam tahun ini sehingga Mei lalu 38 kes telah dilaporkan kepada polis.

Beliau berkata pertambahan dalam kes itu dicampur dengan laporan media massa menunjukkan masalah semakin buruk itu perlu ditangani segera.

“Dalam menangani masalah ini kita perlu berhati-hati mesej yang kita berikan kepada masyarakat adalah positif. Kita tidak sekali-kali mahu menggalakkan perkara ini walaupun kita terpaksa menubuhkan pusat bantuan seumpama itu.

Program “Kami Prihatin” itu dilancarkan oleh Kumpulan Utusan Malaysia dengan kerjasama Persatuan Artis Karyawan dan Astro TV. Ia dianjurkan bersama Kolej Pendeta Za’aba dalam usaha memaparkan keburukan dalam  masyarakat akibat kehamilan di luar nikah hingga mencetuskan pula kes pembuangan bayi yang baru dilahirkan.

Kira-kira 2,000 pelajar dari kolej itu dan sekolah di sekitar Bangi didedahkan kepada pelbagai bentuk penyakit masyarakat terutama bahaya kehamilan di luar perkahwinan itu.

Kempen itu dilancarkan oleh Kumpulan Utusan Malaysia pada April lalu selepas menyedari sesuatu perlu dilakukan bagi membendung kes berkenaan.

Dalam memuji pelajar UKM kerana sikap prihatin mereka dalam menganjurkan program itu, Shahrizat berharap ia akan mewujudkan satu bentuk tekanan baru yang menggalakkan golongan muda berkelakuan baik.