UKM rancang pusat penyelidikan ekosistem marin lebih besar di Mersing

KHAMIS, 08 JULAI 2010 07:13

Oleh  Nur Azimah Mahmood

MERSING, 7 Julai, 2010 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)  sedang memohon untuk mendapatkan sebidang tanah seluas 300 ekar di Teluk Sari dekat sini untuk dimajukan sebagai sebuah pusat penyelidikan ekosistem marin.

Naib Canselornya, Prof. Tan Sri Dato’ Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berharap pembinaan pusat itu nanti akan memberi impak besar kepada pembangunan penyelidikan, perkembangan ekonomi dan peningkatan kualiti kehidupan masyarakat setempat dengan adanya ruang-ruang perniagaan dan peluang pekerjaan yang akan diwujudkan apabila pusat itu beroperasi.

Beliau membuat pengumuman itu ketika berucap di majlis pecah tanah bangunan Pusat Penyelidikan Ekosistem Marin, UKM (EKOMAR) di Tanjung Resang, Mukim Penyabong dekat sini Sabtu lalu (3 Julai). Prof Sharifah Hapsah berharap Ekomar akan memberi manfaat besar kepada para saintis tempatan dan juga luar negara.

Pusat penyelidikan yang sedang dibina itu terletak di atas tapak tiga ekar dan akan dilengkapi dengan makmal, ruang pejabat dan bengkel penyelidikan. EKOMAR juga akan mempunyai ruang asrama untuk pelajar dan diharap dapat dijadikan tempat rujukan dan kajian para pelajar dalam menambah ilmu berkaitan ekosistem marin.

Ia terletak tidak jauh dari Bandar Mersing di Pantai Timur Johor. Kawasan itu dikenal pasti kaya dengan flora dan fauna, khazanah laut semula jadi dan pelbagai aspek kemasyarakatan dan sosio-ekonomi tradisional yang masih terpelihara.

Majlis pecah tanah itu telah disempurnakan oleh Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad, Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia yang juga Ahli Parlimen Mersing, dengan disaksikan oleh 200 tetamu.

Pada upacara itu Prof Sharifah Hapsah telah juga merasmikan Ekspedisi Saintifik 2010 iaitu lanjutan kepada penganjuran Ekspedisi Mersing 2008 yang berjaya menghasilkan Monograf ketiga iaitu Penyelidikan dan Maklumat Perairan Malaysia. Monograf itu juga dilancarkan bersama majlis ini.

Hasil kajian itu telah dibentangkan dalam Seminar Penyelidikan Pantai Timur Johor tahun lepas.

Ekspedisi kedua kali ini berjaya mengumpulkan seramai 80 orang saintis dari Fakulti Sains & Teknologi, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Fakulti Ekonomi & Perniagaan, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, semuanya dari UKM dan juga beberapa orang penyelidik dari Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Terengganu dan Jabatan Taman Laut Malaysia.

Penyelidikan yang dijalankan ini adalah secara integrasi antara bidang sains dan sosial serta multi, inter dan trans-disiplin memfokuskan kepada empat kluster utama iaitu Sains Tulen dan Gunaan; Sains Sosial, Ekonomi dan Perundangan; Teknologi dan Kejuruteraan Marin. Penyelidik dari Pendidikan serta Kesihatan dan Perubatan turut hadir.

Ekspidisi kedua ini adalah selaras dengan fasa pertama pelan tindakan strategi EKOMAR yang bermula pada tahun 2008 hingga 2012, untuk mengumpul dan menyelaras sumber dan asas yang kukuh melalui penumpuan pembangunan fizikal dan penyelidikan.

Penyelidikan ini merangkumi 3 zon iaitu; Zon 1: Pulau Tioman, Pulau Seri Buat, Pulau Pemanggil, Pulau Besar, Pulau Tinggi, Pulau Sibu, Pulau Sibu Tengah, Tanjung Tenggaroh dan di pusat penyelidikan Ekomar yang baru iaitu Tanjung Resang.

Zon 2 pula merangkumi Kampung Sedili Besar, Teluk Mahkota, Kampung Sedili Kecil, Kampung Laut, Kangkar Sedili Kecil dan kawasan utara Kampung Tengah.

Manakala kawasan Selatan Kampung Tengah, Desaru, Kampung Punggai, Teluk Ramunia dan Kampung Sungai Sengit digolongkan dalam Zon 3.

Hasil kajian menyeluruh dan terperinci akan diterbitkan dalam Monograf Ekomar siri keempat apabila berakhirnya ekspedisi kali ini.

Turut hadir di upacara itu ialahTimbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dr Rahmah Mohamed; wakil Pegawai Daerah dan para saintis yang terlibat dalam ekspedisi penyelidikan, pegawai dan kakitangan jabatan dan pejabat daerah, kanak-kanak sekolah serta penduduk setempat.