Malaysia sudah bersedia untuk menjana tenaga nuklear

KHAMIS, 03 JUN 2010 09:20
BY ABDUL GHANI NASIR

Bangi, 3 Jun  2010.– MALAYSIA  sudah bersedia untuk menjana tenaga nuklear sama ada dari segi persediaan, keselamatan mahu pun pengendalian jana kuasa loji nuklear nya (NPP) apabila diwujudkan kelak. Malah Malaysia sudah mula menghantar pegawainya ke Australia sejak 1985 lagi untuk menjalani latihan dalam sains nuklear .

Aspek keselamatan  adalah sangat penting dan tidak akan diabaikan apabila menggunakan  NPP, kata Pengerusi Lembaga Pelesenan Tenaga Atom Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr Nooramly Muslim.

Beliau juga dari Fakulti Sains dan Teknologi, UKM menjelaskan bahawa hingga kini UKM telah pun mengeluarkan kira-kira 900 siswazah, sarjana dan lulusan Ph.D dalam bidang nuklear dengan 95% daripadda mereka bertugas dalam negeri dalam pelbagai sektor. Kepakaran dan latihan yang mereka lalui akan digunakan bagi menjayakan rancangan NPP negara.

“Sebenarnya kita memerlukan masa persediaan 10 hingga 15 tahun sebelum tenaga nuklear boleh digunakan. Bagi Malaysia kita bukannya melengah-lengahkan penggunaan NPP tetapi kerajaan perlu membuat satu keputusan, lantas kita sasarkan tahun 2021 untuk dapat memulakan operasi NPP pertama kita,” kata beliau dalam satu temubual ekslusif dengan Portal Berita UKM semasa Bengkel Tenaga Nuklear anjuran bersama Ukm dan Universit of Tokyo.

Seramai 33 orang pakar tenaga nuklear dari 14 buah negara menghadiri bengkel dua hari itu.

Malaysia akan mengikut jejak Indonesia, Vietnam dan Bangladesh yang akan mula menggunakan NPP mereka mulai 2020.

Beliau menerangkan bahawa Bangladesh walaupun tidak maju seperti Malaysia namun akan mempunyai NPPnya untuk memenuhi keperluan elektriknya sebelum Malaysia.

Bangladesh mempunyai beribu pakar dan kakitangan dalam bidang sains nuklear yang kini berkhidmat di banyak negara maju dan mereka ini tentunya akan dipanggil balik berkhidmat dalam negara mereka sendiri.

Kita sendiri, katanya, telah melatih orang kita dan mereka ini sudah mendapat begitu banyak pengetahuan dan pengalaman dalam bidang sains nuklear apatah lagi kini kita terus melatih generasi muda pula.

Mengenai kebimbangan orang ramai terhadap bahaya nuklear beliau berkata ia sebenarnya berpunca daripada kurangnya pengetahuan dan maklumat mengenai loji nuklear. Penyebaran maklumat kepada orang ramai akan dilakukan dari masa ke semasa.  Katanya negara-negara di Eropah yang sebelum ini menghentikan penggunaan loji nuklear seperti Switzerland dan Britain kini sudah kembali menggunakan NPP.

Dr Nooramly juga menerangkan walau pun kos membinanya amat tinggi, boleh mencecah AS$6billion bergantung kepada saiz dan tapak, tetapi ia boleh digunakan sehingga selama 60 tahun iaitu dua atau tiga generasi akan datang.”

Katanya  negara seperti Jepun yang pernah menjadi mangsa ledakan bom nuklear sewaktu peperangan dunia kedua dahulu, kini menggunakan NPP manakala China yang ada banyak arang juga menjana kuasa nuklear sedang Korea yang tidak ada minyak dan gas terpaksa membina NPP.

“Nuklear adalah bahan jana kuasa yang bersih. Salah anggapan timbul oleh kerana ia disalah gunakan waktu peperangan Dunia Kedua dahulu. Selama ini pun hanya dua nahas telah berlaku melibatkan NPP.  Ini pun adalah kerana kesilapan manusia sendiri dan kurangnya alat keselamatan waktu itu.

“Hari ini jenerasi kedua dan ketiga janakuasa nuklear begitu selamat dan jenis inilah yang kita sedang kaji dan akan bina.” katanya.

Sementara itu, Tomohiko Kita, pengurus besar  Jabatan Hal-ehwal Antarabangsa, Japan Atomic Industrial Forum Incorporation berkata  Jepun mempunyai banyak pengalaman mengenai NPP setelah menggunanya lebih 50 tahun.

“Memang benar kami pernah menjadi mangsa penyalahgunaan kuasa nuklear tetapi itu berlaku pada waktu peperangan. Saya sendiri tinggal di Hiroshima yang musnah angkara bom atom. Hari ini kita mengajar anak-anak kita mengenai faedah dan kegunaan kuasa nuklear, “ katanya.

Malaysia boleh belajar daripada kami bagaimana kami mengajar masyarakat mengenai perkara ini, ujarnya.

Kemungkinan Jepun membantu membiayai pembinaan NPP di Malaysia, Tomohiko berkata, Jepun mempunyai syarikat industri berat seperti Hitachi, Mitsubishi dan Toshiba yang juga adalah vendor nuklear.

Mungkin Jepun boleh menawarkan satu pakej merangkumi latihan, teknologi, pemindahan kepakaran pembinaan dan penyelenggaraan NPP kepada Malaysia.
Selain Jepun, katanya, Korea, Perancis dan Russia adalah negara yang turut terlibat dalam pembinaan NPP.