Orang Cam warisan Kerajaan Melayu tertua di Kemboja

JUMAAT, 04 JUN 2010 17:51
BY MUHAMMAD ADNAN PITCHAN

Bangi, 4 Jun 2010.–
SIAPA tidak kenal orang Cam atau masyarakat Islam Kemboja? Mereka sudah berada di tengah-tengah kehidupan kita di Malaysia sejak hampir 40 tahun lalu lagi.

    Kehadiran mereka di sini tidak syak lagi adalah akibat daripada kekejaman dan pengusiran dilakukan oleh kumpulan pengganas Khmer Rouge di Kemboja waktu itu. Beratus ribu kaum Cam beragama Islam mencari perlindungan dan akhirnya menetap negara ini.

     Mereka ini dapat dilihat di beberapa kampung memiliki rumah besar dan ada yang menjadi peniaga malah ada diantara mereka terkenal sebagai tauke emas.

     Tetapi bagaimana pula kehidupan kaum Cam yang kekal di Kemboja terutama di sekitar Tasik Tonle Sap dan di Kompong Thom?

     Keadaan hidup mereka yang misikin dan melarat dari kacamata kita ini dapat dilihat dalam Pameran Wajah Campa: Saudara Serumpun dirasmikan pada 4 Jun 2010, di Bangunan Canselori, UKM.

   Naib Canselor UKM Profesor Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudindalam ucapannya merasmikan pameran itu berkata monumen-monumen peninggalan Kerajaan Campa masih tegak berdiri di seluruh bahagian tengah Vietnam. Ucapan Prof Dr. Sharifah disampaikan oleh Pengarah ATMA, Prof Dr Abdul Latif Haji Samian.

    Prof Tan Sri Dr Sharifah berkata dinding-dinding monumen yang berukiran cantik menggambarkan pelbagai kisah menarik termasuk persekitaran fizikal dan sosio-budaya kerajaan silam Champa. Ada di antara monumen-monumen tersebut masih berdiri di dataran, di atas bukit dan di keliling sawah serta sungai-sungai yang indah.

     Beliau menarik perhatian terhadap peninggalan yang ditemui pasukan penyelidik UKM yang mencerminkan kekayaan kerohanian dan kebendaan sebuah kerajaan Melayu. “Semua ini memperlihatkan dengan jelas bukti satu ketinggian tamadun sebuah kerajaan yang telah menjadi sebahagian sejarah dan menjadi ciri penting dalam budaya Vietnam hari ini.

     “Setelah Vijaya, ibu negara Campa diruntuhkan pada tahun 1471, Islam telah memainkan peranan penting, membuka jalan kepada hubungan yang lebih luas di antara Campa dengan saudara Melayunya dari Nusantara. Hubungan menjadi lebih erat di abad-abad berikutnya,” katanya.

   Orang Cam yang telah menetap di Malaysia sejak 1975 telah membentuk rupa budaya sendiri dan mengatur kehidupan sebagaimana yang biasa diamalkan di negara asal mereka di samping terlibat dalam kancah pembangunan di Malaysia.

    Ada di antara mereka itu yang mempunyai saudara mara di Malaysia, justeru jalinan hubungan masyarakat Cam tempatan menjadi lebih mudah.

   Prof Dr Sharifah menjelaskan setelah hampir 40 tahun tinggal di Malaysia, hubungan antara etnik Cam beragama Islam telah berintegrasi sepenuhnya, malah berasimilasi dengan masyarakat tempatan menyebabkan anak cucu mereka yang dibesarkan di Malaysia tidak lagi mengenali adat resam mereka.

  Pameran ini memperlihatkan budaya Cam dan bagaimana mereka mengekalkan identiti dalam konteks masyarakat yang sedang berubah. Gambar-gambar dalam pameran ini memaparkan “wajah” sebenar orang Cam dalam kehidupan seharian yang mencakupi hal-hal agama, pendidikan, ekonomi dan kekeluargaan. Rakaman kehidupan mereka diambil semasa para pengkaji melakukan kajian lapangan di penempatan orang Cam termasuk di Kemboja.

   Profesor Madya Dr Mohamad Zain Musa, Felo Penyelidik Kanan di ATMA, bersama dengan rakan-rakan penyelidiknya telah memberikan sumbangan penting kepada perkembangan penyelidikan mengenai Campa dan masyarakat Islam di Indochina.

  Melalui program Kajian Campa, beberapa siri seminar telah diadakan, yang pertama  pada 16 Jun 2004 diikuti dengan seminar kedua pada November 2005. Kedua-duanya berjaya menemukan sarjana dari Perancis, Kemboja, Vietnam dan Amerika Syarikat yang mengkaji tentang Campa.

    Dr Mohamad Zain menjelaskan satu ciri penting adalah kerajaan Campa yang merupakan Kerajaan Melayu tertua dalam sejarah, kini sudah lenyap.

   Pameran di UKM memperlihatkan beberapa sudut sejarah Cam yang berusia 2,000 tahun itu. Kini juga terdadpat kira-kira 10,000 orang Cam yang tinggal di Pulau Hainan, China sejak abad ke-15.