UKM berjaya lahirkan graduan berkualiti dalam tempoh 40 tahun penubuhannya

JUMAAT, 18 JUN 2010 19:55
Oleh Abdul Ghani Nasir

BANGI, 18 Jun –  UKM dalam tempoh 40 tahun penubuhannya telah berjaya melahirkan graduan berkualiti antaranya sudah menjadi menteri, timbalan menteri, pakar perubatan tersohor, ahli kewartawanan, tokoh korporat, usahawan terkenal, penjawat awam tertinggi dan pejuang  pergerakan kemanusiaan.

Keseluruhannya, kata Naib Canselor, Tan Sri Prof Dato’ Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, UKM menghasilkan seramai 131,259 graduan terdiri daripada berbagai kaum yang juga telah berjaya dalam pelbagai bidang.

“Hakikatnya UKM telah berjaya mengeluarkan graduan bukan saja daripada segi kuantiti malah juga kualiti,” ujarnya.

Berucap di Majlis Makan Malam, Alumni 2010, sempena sambutan 40 tahun UKM di Dektar di sini malam tadi, beliau mengumumkan penaja emas majlis kali ini, iaitu Dato’ Dr Zainuddin Wazir, pakar bedah jantung merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Alliance College of Medical Sciences yang juga anak murid beliau dan Dato’ Dr Mahmud.

Majlis malam tadi juga berjaya mengtip dana berjumlah RM210,000 untuk tabung universiti.

Mengenai Buku Panduan Alumni UKM yang dilancarkan malam tadi, beliau berkata ia bertujuan mengumpul maklumat dan data mengenai semua warga lepasannya untuk mengenal pasti kekuatan mereka bagi tujuan pembangunan.

Sejajar itu UKM akan mula mengumpul maklumat kekuatan alumni UKM dalam bidang akademik khususnya di IPTA. “Saya harap alumni yang berteraskan fakulti, kolej dan persatuan akan terlibat dengan pelbagai aktiviti  homecoming dan penjanaan dana, “ tambah beliau.

UKM juga telah menubuhkan Pusat Perhubungan Alumni untuk melaksanakan program bagi menjalin hubungan strategik dan menggembleng tenaga alumni bagi memajukan aktiviti pendidikan, penyelidikan dan khidmat masyarakat universiti selain mengukuhkan jaringan bagi kemajuan para alumni sendiri.

Majlis dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dihadiri  kira-kira 750 ahli Alumni.

Naib Canselor menggesa ahli Alumni agar mengemaskini data mereka secara dalam talian dalam Sistem Maklumat Alumni (SMA) yang boleh diakses melalui laman web www.ukm.my/alumni.

Mengenai  Kad Kredit UKM-CIMB yang turut dilancarkan malam tadi,  Prof Sharifah Hapsah berkata sokongan CIMB  telah membantu universiti menonjolkan identitinya di samping membantu menjana dana untuknya.

CIMB  juga turut membantu membina Dana Waqaf UKM yang dilancarkan baru-baru ini. Beliau berharap para alumni  akan menyumbang kepada dana itu yang dipermudahkan dengan e-banking CIMB Islamic.

“Pulangan daripada Dana Waqaf akan dimanfaatkan kepada Tabung  Pendidikan dan Kebajikan Pelajar: Tabungan Pembangunan Pelajar;Tabung Penyelidikan dan Pembangunan Akademik dan Tabung Jaringan UKM Industri dan Masyarakat.

“Dengan adanya dana dan sumber kewangan yang kukuh, maka lebih cepatlah UKM bergerak ke arah autonomi, satu ciri yang penting bagi mencapai tahap universiti tersohor dunia.

“Contohnya kita lebih berkuasa merekrut tenaga akademik terkenal dunia,  membuat pembelian dengan lebih berkesan, menjalin hubungan dan kolaborasi penyelidikan, pendidikan, penerbitan dan pengkomersilan dengan institusi tersohor dunia dengan lebih mudah,” tambah beliau.

Khusus sempena majlis  Alumni itu, Tan Sri Dr Sharifah Hapsah menyimpaikan dua pantun:

Padi dimakan anak kedidi
Sampai tembolok sarat terbelah
Alumni UKM banyak berbudi
Bagaikan pokok lebat berbuah.

Wahai alumni sekalian
Di sinilah tempat menimba ilmu pengetahuan
Sehingga menjadi orang budiman
Kepada anda disandar kekuatan
Menimbal balik sepanjangan
Agar UKM terserlah berkekalan.

Sementara itu Tan Sri Muhyiddin dalam ucapannya berkata UKM sewajarnya menggerakkan anggota alumninya untuk lebih aktif dalam pelbagai aktiviti agar kecemerlangan universiti itu dapat ditingkatkan bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga di peringkat global.

Inisiatif itu seharusnya disusuli dengan pelbagai bentuk program kerjasama yang konkrit antara alumni dan universiti.

Katanya antara bidang yang boleh diberikan tumpuan ialah pembangunan modal insan yang melibatkan aspek latihan industri dan mobilisasi pelajar.

“Warga alumni yang berada di institusi dan firma yang strategik boleh membantu universiti menyediakan kemudahan kepada para graduan untuk menjalani pelbagai bentuk program latihan amali yang sesuai,” katanya.