UKM hargai jasa wartawan

KHAMIS, 10 JUN 2010 22:30
Oleh Abdul Ghani Nasir

Kuala Lumpur, 10 Jun 2010 – Universiti Kebangsaan Malaysia  malam ini memberi penghormatan dan penghargaan kepada wartawan tempatan yang turut membantu menaikkan nama baik dan imej UKM sejak 40 tahun lalu di samping memberi khidmat dan sumbangan membangunkan masyarakat.

Sejajar ini dan sempena Malam Mesra UKM Media 2010, pihak universiti memberi Anugerah Tokoh Wartawan Terbilang UKM dan juga hadiah kewartawanan .

Datuk Seri Azman Ujang, 59 tahun, Bekas Pengurus Besar dan juga Ketua Pengarang Bernama, yang telah menjadi wartawan lebih 30 tahun, keseluruhannya dengan Bernama, diisytihar  penerima Anugerah Tokoh Wartawan Terbilang UKM 2010.

Selain jasa dan khidmatnya, beliau adalah wartawan yang berpengalaman menulis, mentadbir, serta diterima oleh rakan seperjuangan dan tidak kurang pentingnya adalah keterlibatannya dengan UKM.

Selain menulis dalam media, Datuk Seri Azman juga pernah bertugas dengan cemerlang dalam jawatan kanan sama ada di media cetak, elektronik atau media baru dan pernah menjadi penasihat editorial TV Bernama.

Datuk Seri Azman memulakan kerjayanya sebagai pemberita kadet pada Ogos 1971, iaitu jawatan paling rendah dalam profesion kewartawanan. Beliau naik setapak demi setapak sehingga menjadi Ketua Pengarang pada 2004 dan kemudiannya sebagai Pengurus Besar iaitu jawatan Ketua Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia pada 1 Mac, 2007.

Azman dipilih pemenang pertama Anugerah Tokoh Wartawan Sarawak pada tahun 2005. Beliau banyak membuat liputan ke luar negara khususnya mengikut lawatan Perdana Menteri ketika berkhidmat dengan Bernama.

Beliau juga kerap muncul di kaca tv dalam rancangan talk show di samping memberi ceramah umum mengenai media dan peranannya dalam pembangunan negara kepada pegawai kanan kerajaan.

Beliau juga pernah menjadi menjadi Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MPI, Azman juga adalah ahli panel pemilih Anugerah Olahragawan/Olahragawati Negara, ahli Majlis Penasihat Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia dan ahli Lembaga Pengajian Jabatan Komunikasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sempena ulangtahun ke 200 Polis Diraja Malaysia  tahun ini, Azman menerima Anugerah “Friend of the Police”  kerana sumbangannya merapatkan dan menjalin hubungan di antara Polis, media dan orang ramai.

Sementara itu UKM juga mengadakan Hadiah Kewartawanan yang diberi kepada wartawan akhbar tempatan khususnya mereka yang  banyak menulis berkaitan berita, penyelidikan dan kejayaan UKM.

Tempat Pertama Hadiah Kewartawanan UKM dimenangi oleh Puan Norliza Abdullah dari Berita Harian yang membawa pulang RM3,000 dengan rencana beliau bertajuk: Lembah Bujang Kaya Sejarah.

Tempat Kedua bernilai RM2,000 dimenangi oleh Puan Shanika Abdullatib daripada akhbar Kosmo dengan rencananya : Si Penunggu Gua; manakala Tempat Ketiga juga dibolot oleh wartawan Kosmo iaitu Cik Yeo Li Shian yang membawa pulang RM1,000 dengan berita : Buat Imbasan Awal.

Seramai lapan orang lagi wartawan juga diberikan hadiah saguhati iaitu RM500 setiap seorang.

Mereka adalah Puan Saidatul Mahiran Rosli (Utusan Malaysia) dengan artikel bertajuk – Kongsi Kereta: Antara Impian dan Realiti; Kahirunnisa Sulaiman (Utusan Malaysia) –  Memanfaat Kajian Serangga; Shanika Abdullatib (Kosmo) – Kristal Yang Menyakitkan: Mohd Azis Ngah (Berita Minggu) – Mat Rempit Kepala Angin; Bazir Zahrom (Berita Harian) – Kuasa Mikro Sel Fuel; Maria J Dass (The Sun) – Ignore Global Warming At Your Peril; Suzanna Pillay (New Straits Times) – Inside The Emergency Room dan Revathi Murugappan (The Star) – House Call Nurses.

Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Datuk Paduka Mazlan Ahmad menyampaikan anugerah Wartawan Terbilang kepada Datuk Seri Azxman Ujang. Tan Sri Mazlan juga melancarkan buku bertajuk Tokoh dan Wartawan Melayu: Penebus Peminggiran Melayu yang dikarang oleh Tan Sri Mazlan Nordin, seorang karyawan tamu di UKM.

Naib Canselor, Prof Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, menyampaikan hadiah-hadiah kepada wartawan yang memenangi Hadiah Wartawan.

Pengarang Kumpulan Berita Harian/Berita Minggu, Datuk Mior Kamarul Shahid Kamarul Baid, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Encik Othman Mohamad, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia, Datuk Chamil Wariya adalah anyara 150 orang wartawan hadir pada majlis itu. Manakala antara yang hadir dari UKM ialah Timbalan Naib Canselor, Prof Datuk Mohamad Abdul Razak, Pendaftar, Encik Aziz Othman, Bendahari, Tuan Haji Abdul Rashid Mohamad Fathil, ahli-ahli Senat dan Ketua-ketua Bahagian.