Umat tidak perlu apologetik hadapi cabaran masa kini

KHAMIS, 17 JUN 2010 18:29
Oleh Nastura Nasir

BANGI, 17 Jun 2010 – Pendekatan umat Islam secara apologetik dengan semata-mata menekankan tentang idealisma dan zaman kegemilangan Islam haruslah diperiksa semula dan diberikan nafas baru dengan mengambil iktibar dan mengambil kira realiti umat Islam masa kini.

Pemikiran semula mengenai pendekatan umat Islam terhadap segala isu itu memerlukan perubahan bicara dan fokus daripada membicarakan sejarah Islam kepada sejarah umat Islam, demikian kata Prof. Dato’ Dr. Ismail Ibrahim dalam Syarahan Kursi Syeikh Abdullah Fahim yang bertajuk “Gagasan 1Malaysia, Peradaban dan Identiti Bangsa : Pendekatan Hadhari”.

Meskipun kedua-duanya boleh membawa kesimpulan yang sama, penekanan dan pokok perbicaraan tentang sejarah umat itu akan lebih memfokuskan kepada realiti mereka dan penyelesaiannya akan lebih berbentuk praktikal serta lebih berpijak di bumi nyata, tamabah beliau.

Umat Islam pada hari ini, katanya, terhimpit dengan pelbagai cabaran semasa. Krisis ‘dalaman’ di antara umat kerana perselisihan pentafsiran tentang agama, isu remeh temeh perbezaan mazhab fiqah, isu ijtihad dan cabang syariah, politik partisan dan pelbagai hal lain yang sepatutnya sudah lama diselesaikan, sering kali menjadikan umat ini berpecah belah dan tidak mendapat kata sepakat dalam membangun agama dan umatnya sendiri.

Prof. Dr. Ismail juga menyatakan bahawa umat Islam sendiri haruslah bersedia untuk berubah. Sekiranya pendidikan merupakan satu agen perubahan penting yang seharusnya digunakan untuk mengubah pemikiran dan sikap serta keterampilan umat ini, maka kajian yang mendalam haruslah dimulakan dalam menyemak semula sistem pendidikan dalam negara Islam.

Pendidikan Islam kini bukan hanya sinonim dengan tahfiz, fardu ain, ibadat formal dan pengajian Islam sahaja. Hanya melalui pendidikan Islam yang lebih iltizam dengan falsafah dan konsep ilmu, serta lebih terbuka kepada cabaran-cabaran global dan moden, barulah negara akan dapat mengeluarkan para intelek Islam yang mampu berfikir dan berusaha untuk membangunkan negara dan bangsa yang berperadaban di jalannya yang betul.

Beliau berkata lagi, UKM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang juga diasaskan atas inspirasi yang bermatlamatkan ketinggian tamadun dan peradaban Islam dan umatnya, seharusnya dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam kajian dan pendidikan Islam yang dinamik untuk segala peringkat pendidikan Islam di negara ini.

Prof. Dato’ Dr. Ismail Hj Ibrahim adalah Penyandang Pertama Kursi Syeikh Abdullah Fahim, Institut Islam Hadhari (HADHARI), UKM.

Pada majlis yang sama turut berlangsung Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UKM dengan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), penyampaian cek dari JAKIM kepada UKM dan Pelancaran Buku berjudul Jati Diri Kebangsaan Manhaj Islam Hadhari yang merupakan koleksi kertas kerja tenaga akademik UKM.

Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, Mantan Perdana Menteri, Dato’ Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah JAKIM dan Prof. Dato’ Dr. Mohd Yusof Othman, Pengarah Institut Islam Hadhari UKM.