Fakulti Pergigian tumpu kajian kesihatan gigi kanak kanak kurang bernasib baik

SELASA, 09 NOVEMBER 2010 00:00

Oleh Shahfizal Musa
Foto oleh Penerbit UKM

Kuala Lumpur, 9 Nov. 2010 –  Fakulti Pergigian UKM akan menumpu kajian terhadap kesihatan pergigian khususnya pencegahan kerosakan giji mereka yang kurang upaya terutama kanak-kanak.

“Fakulti Pergigian UKM berharap untuk meneruskan dan membuka ruang penyelidikan dengan rakan kolaboratif dalam bidang pencegah penyakit gigi yang melibatkan mereka yang kurang bernasib baik termasuk yang kurang upaya, yang mempunyai masalah kesihatan dan kanak-kanak.”

Demikian kata Prof Dato Ir. Dr  Hassan Basri, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan hubungan Antarabangsa) di Persidangan Akademi Asia Mengenai Pergigian Pencegah hari ini. UKM buat pertama kalinya telah menjadi tuan rumah siposium tiga hari itu di Hotel Istana di sini.

Persidangan itu dihadiri lebih 500 peserta dari 25 negara untuk menilai perkembangan isu-isu kesihatan pergigian di Asia dan menentukan arah tujunya khusunya mengenai pencegahan penyakit gigi di Asia.

“Mungkin sudah sampai masanya, kita mengimbau pencapaian dan kelemahan selama ini serta arah tuju masa hadapan sebelum bergerak lebih jauh memasuki Milenium ini. Oleh itu saya berbangga platform persidangan tahun ini berada dalam suasana renungi apa yang telah tercapai sebelum bergerak ke hadapan,” kata Prof Hassan.

Antara kertas kerja yang dibentangkan di simposium itu adalah Pengurusan Pencegahan untuk  Pesakit Keperluan Khas, oleh Professor Laurence Walsh, University of Brisbane (Australia); Cabaran Praktik klinikal untuk pesakit yang Kurang Upaya oleh  Dr Liza Centeno (Philipines) dan Promosi Kesihatan Pergigian untuk Warga Tua Asia oleh  Professor Madya Hiroshi Ogawa dari Niggata University Japan.  

  

Fakulti Pergigian UKM juga telah menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan dua institusi luar negara bagi mengukuhkan kerjasama untuk manfaatkan kesihatan gigi masyarakat yang kurang bernasib baik.

MoU pertama adalah dengan Health Sciences University Mongolia bertujuan meningkatkan kerjasama dalam bidang kesihatan pergigian. Ia juga akan melibatkan pertukaran pelajar dalam bidang kesihatan pergigian dan berbagai-bagai aktiviti penyelidikan dalam bidang tersebut.

MoU  kedua ditanda tangani dengan Yayasan Pergigian Kanak-kanak Global (Global Child Dental Fund), Kings College London, bertujuan mengalakkan penyelidikan mengenai masalah gigi berlubang dan kesannya ke atas kanak -kanak yang kurang bernasib baik .

Turut hadir di persidangan itu ialah Dekan Fakulti Pergigian Dato’ Dr Ghazali Mat Nor; Yang di Pertua Akademi Pergigian Pencegahan se Asia UKM, Professor Dr Rahimah Abdul Kadir; Dr Bazar Amarsaikhan, Dekan Sekolah Pergigian, Health Sciences University of Mongolia dan Prof Raman Bedi, Pengerusi Yayasan Pergigian Kanak-kanak Global Kings College London.