Fasa Kedua Dasar Bioteknologi bawa hasil R &D ke pasaran

SELASA, 30 NOVEMBER 2010 17:37

Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Mohd Ikhwan Hashim (Penerbit UKM)

KUALA LUMPUR, 30 Nov. 2010 – Kerajaan akan melaksanakan usaha membawa hasil Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) ke pasaran dalam masa lima tahun ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) , Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili.

Ia adalah dalam rangka fasa kedua Dasar Bioteknologi Negara bertemakan Sains kepada Perniagaan, ia itu susulan dari kejayaan fasa pertama mulai 2005 untuk membina keupayaan dengan penubuhan syarikat bioteknologi tempatan yang boleh menerima hasil penyelidikan dari institusi kajian.

Sehingga kini lebih 100 buah syarikat baru biotek telah ditubuhkan, katanya ketika merasmikan Persidangan Serantau Sistem Biologi 2010, di sini hari ini. Ucapannya itu telah dibacakan oleh Ketua Pengarah Institut Genome Malaysia, MOSTI,  Profesor Emeritus Dr Nor Muhammad Mahadi.

Dr Ongkili berkata pelaksanaan fasa kedua tidak bermakna tumpuan terhadap Pembinaan Keupayaan akan dikurangkan. Malah penyelidikan yang membawa kepada lebih banyak penemuan mesti diteruskan.

Lonjakan dalam rangkaian nilai bioteknologi demikian ini akan meningkatkan peluang negara dalam bioteknologi dan sistem biologi.

Beliau memuji langkah UKM menubuhkan Institut Sistem Biologi (INBIOSIS) yang memberi tumpuan kepada sistem biologi mikrobial dan pokok dan menganggapkannya sebagai satu langkah berani dan bercita-cita tinggi.

Daripada perspektif negara ia adalah satu strategi bijak memandangkan ia bertujuan membuka lebih banyak peluang baru dalam industri bioteknologi dan pertanian,” katanya.

Mengikut Model Inovasi Negara yang digubal MOSTI,  inovasi daripada hasil penyelidikan dan pembangunan dalam biologi molekular, genomik dan sistem biologi dianggap sebagai pendekatan inovasi diterajui teknologi untuk pembangunan perniagaan.

Mengenai pergantungan sistem biologi terhadap bioinformatik dan biologi asas-komputer, beliau berkata MOSTI akan giat berusaha untuk mempromosi dan membuka peluang kepada R&D.

“Kita akan mengorak langkah permulaan dengan satu program khas dalam informatik genomik dengan kolaborasi dengan sebuah institut terkemuka dalam biologi genomik dan molekular dari rantau ini.

“Dalam usaha meletakkan bidang bioteknologi di persada global menjelang 2020, kerajaan juga sedang menggalakkan pelaburan bioteknologi dari luar negara.

“BioXcell di Iskandar Malaysia di Johor telah memikat sejumlah syarikat bioteknologi untuk memindahkan operasi mereka ke Malaysia. Begitu juga sejumlah syarikat dari India akan melabur di Melaka BioCity,” kata Dr Ongkili.

Pengarah INBIOSIS yang juga Pengerusi persidangan, Prof. Dr Normah Mohd Noor berkata sidang itu akan memberi tumpuan kepada kemajuan masa kini dalam biologi, terutama peranan biologi pada era sains integratif.

UKM, kata beliau, adalah universiti pertama di Malaysia yang meletakkan sistem biologi sebagai pendekatan penyelidikan terbaik dalam kajian bioteknologi moden daripada perspektif sistem.

INBIOSIS telah merintis peluang baru yang luas ini dalam negara dan penubuhannya pada 1 Julai, 2005 menyatukan semua kepakaran daripada tiga pusat penyelidikan iaitu Pusat bagi Analisis dan Teknologi Gene, Pusat bagi Bioteknologi Pokok dan Pusat bagi Penyelidikan Bioinformatik.

Ketiga-tiga pusat penyelidikan itu, katanya, mengukuhkan UKM sebagai sebuah universiti penyelidikan bioteknologi moden yang berjaya dan unggul.