Lima Pelajar UKM menganggotai pasukan Kriket Negara di Sukan Asia Guangzhou

SELASA, 23 NOVEMBER 2010 17:21

BANGI, 23 Nov 2010 – Lima pemain dalam pasukan kriket Malaysia yang sedang mengambil bahagian dalam Sukan Asia ke XVI di Guangzhou dan berjaya hingga ke suku akhir adalah terdiri dari pelajar UKM.

Pasukan Malaysia itu bagaimana pun telah kecundang di tangan Bangladesh, yang sememangnya adalah sebuah negara kriket, dengan memperolehi hanya 80 lari berbanding 150 lari oleh Bangladesh pagi tadi.

Empat daripada pelajar itu ialah Ahmad Faiz Mohammad Noor, Mohd Shafiq Mohd Sharif, Muhamad Nik Azril Arifin and Mohd Shahrulnizam Mohd Yusof  yang sedang mengambil pengajian Sains Sukan dan Rekreasi di Fakulti Pendidikan manakala pemain kelima, Aminudin Ramly sedang mengikuti pengajian Perniagaan di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan.

Mereka ini yang juga anggota pasukan kriket UKM, juara kriket antara universiti dalam negara dan telah berjaya menduduki tempat kedua dalam kejuaraan Kriket Antara Universiti Antarabangsa Ogos lalu.

Ia hanya telah kalah kepada University of Western Australia di peringkat akhir dan sebelum itu telah mengalahkan empat universiti lain terdiri dari National Universiti Singapura; Christ Universiti India; University of Colombo, Sri Lanka and NED University of Engineering and Technology, Pakistan.