Malaysia dan Negara Amerika Latin perlu mengenali sesama mereka dengan lebih mendalam

RABU, 10 NOVEMBER 2010 19:34

Oleh Kuah Guan Oo
Foto oleh Saliman Leman

BANGI, 10 Nov. 2010 – Malaysia dan negara-negara Amerika Latin perlu menghulurkan tangan untuk mengetahui satu sama lain secara lebih dekat serta mengenal pasti matlamat bersama untuk mengujudkan kerjasama lebih rapat antara mereka.

Dagangan antara Malaysia dan negara-negara Latin Amerika kini sedang meningkat dan sudah menjadi lebih penting.

Demikian kata Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Tan Sri Dato’ Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin ketika merasmikan Simposium Antarabangsa memperingati ulang tahun ke200 kemerdekaan Amerika Latin di sini hari ini.

Simposium dua hari itu dikendalikan bersama oleh Institut Kajian Oksidental UKM (IKON) dan Kedutaan Besar Negara-negara Latin Amerika di Kuala Lumpur. Tema persidangan ialah ‘Identiti Amerika Latin sebagai Matlamat Demokrasi’.

Antara tujuannya ialah untuk memupuk kefahaman lebih mendalam mengenai Amerika Latin selain menyedarkan kekayaan tradisi budayanya, mengenali ujudnya persefahaman antara Malaysia dan negara-negara itu serta meningkatkan hubungan rakyat ke rakyat mereka.

Antara penceramah di simposium itu ialah Duta Besar Mexico ke Malaysia Melba Pria, wakil dari Institut Sains Politik Chile Dr Manfred Wilhelmy, Ezqueil David Grimson dari Perpustakaan Kebangsaan Argentina dan Duta Besar Venezuela ke Singapura, Alfred Toro Hardy.

Prof Sharifah Hapsah berkata UKM dengan jangkauan antarabangsanya berbangga dapat menyertai perayaan memperingati ulang tahun itu kerana ia amat berminat dengan perkembangan diluar Malaysia dan kawasan sekitarnya.

UKM juga adalah satu-satunya institusi akademik dirantau ini yang telah menubuhkan sebuah badan penyelidakan khusus mendekati hal ehwal negara-negara oksidental yang termasuk juga negara Amerika Latin, ia itu IKON yang telah ditubuhkan pada Okt 2002.

UKM melalui IKON berhajat  menyumbang terhadap penghuraian mengenai dunia oksidental dari sudut pandangan timur. Kefahaman dan kesedaran bersama mengenai negara masing-masing penting untuk mengujudkan dialog antara tamaddun dan budaya.

 

Menyorot kembali terhadap Koloquim Antarabangsa Pertama mengenai Amerika Latin dua tahun lalu, beliau berkata banyak yang telah berlaku sejak itu khusunya kegiatan antara IKON dan kedutaan besar negara-negara Amerika Latin yang antaranya membuahkan terjemahan buku ‘ALIEP’ oleh Prof Zakaria Ali dari IKON.

Sementara itu Duta Besar Venezuela ke Malaysia, Manuel Antonio Guzman Hernandez dalam ucapan aluannya berkata acara memperinganti 200 tahun kemerdekaan negara-negara Amerika Latin adalah suatu peristewa sejarah penting bagi mereka walau pun setiap negara Amerika Latin mencapai kemerdekaan mereka pada masa berlainan.

Apa pun perayaan itu menjadi suatu perkara yang telah berjaya dijadikan jembatan akademik antara Malaysia dengan benua Amerika Latin, tambah beliau yang menyorot terhadap kekurangan hubungan antara kedua kawasan hingga membawa kepada pandangan yang ‘stereotype’ dan tidak betul antara mereka.

“Sebab itulah kita tidak harus perkecilkan apa pun usaha yang boleh mendekatkan kedua kawasan dimana negara-negara Amerika Latin perlu mengetahui perkembangan di Malaysia dengan lebih mendalam dan sebaliknya Malaysia mengenai negara-negara kawasan itu”, katanya.

Simposium itu boleh menjadi satu langkah baik bagi univerisiti, rakyat dan kerajaan mengenali sesama mereka dengan lebih mendalam dan dengan itu dapat menyumbang terhadap mengujudkan dunia yang lebih baik, kata Hernandez.