Pensyarah UKM terima Anugerah Perdana Menteri Australia

SELASA, 16 NOVEMBER 2010 09:51

Oleh Shahfizal Musa
Foto oleh Saliman Leman

BANGI, 16  Nov. 2010 – Seorang pensyarah dan ahli klinikal psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Safiyyah A. Aziz telah terpilih sebagai salah seorang daripada 20 orang di Asia dan Australia untuk menerima Anugerah Pasca Siswazah Endeavour  Perdana Menteri Australia 2011.

Anugerah itu berupa biasiswa penuh akan membolehkannya membuat penyelidikan bagi ijazah PhD dalam bidang psikologi klinikal di University of Western Australia mulai January depan. Ia adalah untuk jangkamasa 3 ½  tahun.

Anugerah itu diberi kepada mereka yang mendapat keputusan akademik cemerlang serta mempunyai pengalaman aktiviti khidmat masyarakat.

Dr Safiyyah yang merupakan salah seorang daripada pegubal Akta Kanak- Kanak Malaysia 2001 telah lama bergiat dalam kerja-kerja sukarela di sini.

Selain daripada memperolehi keputusan cemerlang dalam pengajiannya beliau juga telah bergiat dalam berbagai usaha membantu kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan seksual serta meluangkan masa di beberapa rumah perlindungan kanak-kanak serta kanak-kanak yang dianggap bermasaalah.

Beliau juga telah banyak membantu Rumah Solehah, sebuah pusat untuk kanak-kanak yang menghidapi HIV dan AIDS.

Minat beliau dalam kerja-kerja sukarela telah dipupuk oleh ayahnya sejak dari kecil. “Semenjak usia 5 tahun bapa saya akan membawa kami (dia dan adek-adeknya) ke rumah kanak-kanak dan beberapa tempat lain untuk menjalankan kerja-kerja sukarela,” katanya.

“Saya sebenarnya tidak memilih untuk memberi fokus kepada masaalah yang melibatkan kanak- kanak tetapi saya rasa bidang itu yang telah memilih saya,

“Ia bermula sebagai suatu hukuman, ketika saya dan beberapa rakan mengikuti  satu kem pembelajaran ketika berumur 16 tahun.

“Kami banyak membuat bising dan sebagai hukum kami telah di hantar ke sebuah kem lain yang menumpukan kepada hak kanak-kanak  mengikut peraturan Bangsa-Bangsa Bersatu. Sejak itu saya telah berminat dengan usaha membantu kanak-kanak,” kata Dr Safiyyah.

Penyelidikan beliau di Australia nanti adalah mengenai perkembangan bahasa kanak-kanak dan bagaimana ia digunakan kanak-kanak bermasaalah mengawal tingkah laku mereka melalui pertuturan mereka.

“Contohnya jika kanak-kanak mempunyai ‘Attention Deficit Hyperactivity Disorder’  yang menyebabkan mereka mempunyai daya tumpuan yang sangat rendah. Penyelidikan saya adalah untuk mengetahui bagaimana mereka boleh mengawal tingkah laku mereka melalui pertuturan mereka,” kata beliau.

Hasil penyelidikannya, akan membolehkan ibu bapa dan para guru untuk mengendalikan kanak-kanak yang dianggap bermasalah dengan lebih berkesan.

Beliau berharap untuk kembali berkhidmat di UKM dan untuk tanah air selesai pengajiannya di Australia kelak.

“Apa yang baiknya mengenai biasiswa ini ialah saya diberi berpeluang untuk berkhidmat selama setahun di hospital Australia dan mendapatkan pengalaman dan membawanya pulang untuk membantu kanak-kanak di Malaysia,” kata beliau.

Impian beliau ialah untuk menubuhkan satu institut kajian mengenai perkembangan kanak-kanak sebagai satu bidang nic di UKM.

“Kanak kanak adalah pemimpin masa hadapan dan kita mesti mencari jalan untuk mereka termasuk yang tidak bernasib baik, seperti mereka yang datang dari rumah tangga bermasalah, supaya mereka juga boleh mencapai kecemerlangan walaupun menghadapi berbagai cabaran hidup” kata Dr Safiyyah.