Stesen Penyelidikan “Makmal Hidup” UKM dibuka untuk Pelancongan

ISNIN, 15 NOVEMBER 2010 15:37

Oleh Kuah Guan Oo
Foto oleh K Eco Tourism Sdn Bhd

BANGI, 15 Nov.  2010 –  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah membuka pintu tujuh stesen penyelidikannya untuk pelancongan menerusi pelbagai pakej membolehkan pelancung mengalami, melihat dan menimba ilmu alam sekitar serta tumbuh-tumbuhan and haiwan dalam habitat asli mereka.

Stesen-stesyen itu yang dianggap sebagai “makmal hidup”  ialah Pusat Penyelidikan Tasik Chini (Pahang), Pusat Penyelidikan Ekosistem Marin Mersing (Johor), Pusat Penyelidikan Bukit Fraser (Pahang), Penyelidikan di Hutan Lipur Lata Jarum (Pahang), Penyelidikan di Sungai Pulai (Johor), Pusat Penyelidikan Langkawi (Kedah) dan Hutan Simpan Bangi di UKM yang mengandungi Taman Paku Pakis dan Taman Herba.

Kecuali Stesen Sungai Pulai and Hutan Simpan Bangi yang memerlukan lawatan se-tengah hari sahaja, pakej lawatan ke stesen lain yang ditawarkan ialah untuk dua hari satu malam atau tiga hari dua malam di mana pelawat  berpeluang melihat dari dekat kehidupan penduduk tempatan termasuk orang asli.

Mereka akan dapat menghayati kenapa alam sekitar, tumbuh-tumbuhan dan haiwan perlu dipelihara dan di pulihhara oleh saintis dan penyelidik.

Pakej pelancongan ini yang dipanggil “Ekopelancong Ilmu” telah ditawarkan oleh Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin semasa beliau memberi taklimat kepada  Menteri Pelancongan, Dato’ Seri Dr Ng Yen Yen sempena lawatan kerjanya ke UKM Khamis (11 Nov 2010) lalu.

“Matlamat UKM ialah untuk menambah nilai kepada ekopelancongan dengan berkongsi ilmu menerusi modul lawatan yang disusun dengan rapi, selain modul latihan untuk pemandu pelancongan,” katanya.

UKM, katanya, adalah wadah ilmu mengenai alam sekitar, biodiversiti serta cara hidup penduduk tempatan dan ilmu itu boleh dipanjangkan kepada orang ramai.

Ini adalah cara terbaik untuk mengadakan “lawatan bertanggungjawab ke  alam semula jadi untuk merasai, menghayati disamping menimba ilmu daripada penyelidikan ke atas ekosistem serta pelbagai usaha yang dijalankan untuk memulihara biodiversiti dan meningkatkan kesejahteraan pendudukan tempatan,” tambahnya.

UKM berharap dapat bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan  dengan menjaringkan rangkaian portal pakej ekopelancongan UKM (myktours.com) ke portal kementerian; mempromosikan tawaran pakej ekopelancongan itu kepada agensi dan persatuan pelancongan.

 

Prof Syarifah Hapsah juga mengesyurkan Kementerian Pelancungan melantik UKM untuk mengendalikan kursus latihan dan pentauliahan pemandu pelancongan Ekopelancongan Ilmu UKM ini.

Modul latihan itu boleh dijalankan dalam bahasa Melayu, Arab, Inggeris, Mandarin dan lain-lain.

UKM juga memohon bantuan dana daripada Kementerian itu untuk membina beberapa kemudahan asas untuk pelawat seperti kawasan khemah, tandas kekal eko dan penjana kuasa bebas, tempat menghendap burung, “canopy walk”, rumah pemuliharaan atau konservatori untuk paku-pakis gunung dan iklim sederhana serta geran penyelidikan untuk menyediakan piawaian ekopelancongan ilmu.

Dr Ng, dalam ucapannya, menerima baik tawaran UKM itu dan berkata ia boleh merangsangkan industri pelancongan yang kini menjadi penyumbang kedua terbesar kepada pendapatan negara.  Beliau juga berkata negara memerlukan pemandu pelancongan yang terlatih yang boleh menyampaikan maklumat tepat mengenai tempat tarikan pelancongan, kebudayaan, negara serta rakyatnya.

Pakej ekopelancongan ilmu dan program latihan pemandu pelancongan diuruskan oleh K. Eco Tourism Sdn Bhd, sebuah anak syarikat UKM.

 

Di bawah pakej untuk Tasik Chini, pelawat berpeluang menjejak denai alam semula jadi, merasa makanan istimewa hutan, merentasi tasik yang penuh dengan bunga teratai pada siang atau malam, mendengar cerita atau kaedah mengubati penyakit mengikut cara orang asli daripada Tok Batin atau melihat matahari terbit di tasik air tawar yang kedua terbesar di negara yang telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai Biosfera Simpan.

Pelawat dan pelancung juga boleh melihat bagaimana penyelidik menangkap pelbagai kelawar, katak dan lain-lain haiwan untuk kajian sebelum dibebaskan semula.

Pelawat ke stesen Mersing pula berpeluang mengail ikan atau mencandat sotong (ikut musim), menjejak denai hutan, menyelam atau “scuba diving”, melawat pekan Mersing, kilang keropok, ladang kambing/lembu atau menonton persembahan budaya tempatan, selain menikmati makanan laut.

 

Bagi mereka yang sukakan tanah tinggi, Stesen Bukit Fraser memberi peluang melihat kecantikan kupu-kupu, rama-rama, burung serta paku-pakis dan orkid selain menjejak denai dan melihat kerja kejuteraan bio penyelidik. Mereka juga boleh berenang di Air Terjun Jeriau.

Di Lata Jarum pula, mereka boleh menikmati alam semula jadi yang indah, menjejak denai hutan dan berpeluang melihat bunga terbesar  didunia, Rafflesia, selain burung hutan, orkid, rama-rama, kupu-kupu serta sarang lebah hutan yang bergantung di dahan pohon Tualang yang tinggi. Mereka juga boleh membuat trekking pada malam dan memakan buah seperti durian dan dokong mengikut musimnya.

Pelawat ke stesen Sungai Pulai akan menaiki bot laju untuk melihat hutan bakau, hidupan air dan burung laut di habitat mereka. Kalau mereka bernasib baik, mereka berpeluang melihat ikan lumba-lumba atau memerang.

Lawatan ke Hutan Simpan Bangi pula melibatkan Taman Herba dan Paku-Pakis di mana pelawat akan mengetahui pelbagai herba dan kegunaannya, serta cara membiak paku-pakis. Pelawat berpeluang menjejak denai hutan yang juga habitat hidupan liar seperti burung dan kera.

Pengurus Kanan Urus Niaga K. Eco Tourism, Cik Faa’iqa bt Abdul Rashid, berkata mereka akan bekerjasama dengan agensi pelancongan untuk menawarkan pakej UKM itu.

“Buat masa ini, kami sedang membuat persiapan untuk membawa pegawai kanan agensi pelancongan ke stesen-stesyen penyelidikan UKM untuk merasai apa yang kita tawarkan itu,” tambahnya. – Portal Berita UKM

Cik Faa’iqa bt Abdul Rashid boleh dihubungi di: info@myktours.com atau
Tel: 603 8921 3545