UKM akan perkenal program PhD berasaskan pengalaman industri

JUMAAT, 19 NOVEMBER 2010 17:26

Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Penerbit UKM

KUALA LUMPUR, 19 Nov, 2010 – UKM akan melancarkan satu program Pengajian PhD berlandaskan Industri di mana pemegang ijazah pertama yang mempunyai pengalaman kerja dalam sesuatu bidang khusus selama lima tahun boleh memohon.

Pelajar ini dibenarkan kekal di mana mereka berada dan membuat thesis berdasarkan apa yang mereka ditugaskan dan jalankan, demikian diumumkan Nabi Canselor UKM Prof Tan Sri Dato’ Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin hari ini.

Beliau berkata: “Saya kira kita kini perlu bergerak ke depan. Kita tukar gear. Pegawai yang sudah memperoleh ijazah Sarjana boleh buat PhD, tetapi kini kita iktiraf juga pengalaman bekerja. Pemegang ijazah pertama yang mempunyai pengalaman kerja dalam sesuatu bidang khusus selama lima tahun boleh juga memohon.”

Berucap di majlis menandatangani Memorandum Perjanjian antara UKM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi Program Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Rasuah) yang baru, Prof Sharifah Hapsah mengumumkan bahawa UKM juga akan menawarkan kursus pengajian mengenai rasuah di peringkat PhD kepada pegawai SPRM.

Ini adalah langkah ke depan yang wajar  berikutan UKM dan SPRM sudah pun berjaya melaksanakan kerjasama bagi pengajian peringkat Sarjana sejajar perjanjian kerjasama 2007-2010 yang telah dimeterai sebelum ini.

Sejajar perjanjian pertama itu, enam pegawai SPRM dianugerah ijazah Sarjana (Pengajian Rasuah) UKM pada Majlis Konvokesyen ke-38 Ogos lalu manakala kumpulan kedua seramai tujuh orang pegawai dijangka menamatkan pengajian pada penghujung sesi 2010-2011.

 

Prof. Sharifah Hapsah berkata program Sarjana Sains Sosial (Pengajian Rasuah) dijalankan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK)  bertujuan melatih dan melahirkan pegawai kanan SPRM khususnya yang berilmu dan berwibawa.

“Pegawai-pegawai ini akan dapat mengadun teori dan praktikal dalam menghadapi tugas SPRM membanteras dan mencegah rasuah di Malaysia.

“Program ini diharap akan dapat menambah ilmu pengetahuan pegawai ini bagi meningkatkan profesionalisme dalam melaksanakan tuas menghadapi perlakuan jenayah rasuah yang semakin canggih kesan globalisasi dan perkembangan teknologi informasi,” kata beliau.

Beliau juga turut menawarkan pensijilan UKM kepada kursus jangka pendek dianjurkan SPRM di Akademinya berikutan sambutan amat memberangsangkan terutama daripada negara asing.

Beliau menjelaskan jika kursus itu dianjurkan bersama, pensijilan mudah diperolehi melalui Senat Universiti saja memandangkan UKM adalah pusat pengajian tinggi yang telah diberi hak swaakreditasi.

Cuma pelajar peringkat sijil ini perlu memenuhi pengajian selama 80 jam, katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim bin Mohamed ketika berucap berkata UKM dipilih kerana ia antara universiti terulung di negara ini yang mengendalikan program dalam bidang ilmu sains sosial dan kemanusiaan yang bukan saja menekankan pengajaran tetapi juga membentuk graduan yang berfikiran kritis, bermoral dan mempunyai kemahiran berkomunikasi.

Program itu juga adalah antara usaha dan inisiatif dijalankan bagi meningkatkan kapasiti dan kebolehan pegawai SPRM dengan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) sebagai pusat latihan pencegahan rasuah pertama diwujudkan di rantau Asia Pasifik yang menawarkan pembelajaran yang lebih profesional dan sistematik.

Di majlis itu, Prof Sharifah Hapsah dan Dekan FSSK, Prof Dr Sharifah Mastura Syed Abdullah menandatangani bagi pihak UKM manakala SPRM diwakili Datuk Seri Abu Kassim dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Datuk Zakaria Jaafar.