UKM dan UNESCO mencari penyelesaian mengekalkan keamanan di rantau Asia Pasifik

SELASA, 30 NOVEMBER 2010 11:08

Oleh Shahfizal Musa
Foto oleh Saliman Leman

BANGI, 30 Nov. 2010 – Rantau Asia Pasifik telah mengalami berbagai konflik berkaitan perebutan kawasan dan kedaulatan sehinggalah kepada masaalah mengenai sumber alam, agama, etnik dan nilai malangnya sistem antarabangsa telah gagal untuk menanganinya.

Ini telah memberi kesan kepada tahap kemuliaan manusia di rantau itu walaupun ia dilihat mempunyai kuasa ekonomi yang sedang berkembang, demikian dinyatakan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Tan Sri Dato Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin di sini.

Beliau menjelaskan bahawa walaupun rantau itu mencapai kemodenan, kualiti hidup yang di alami sebahagian daripada penghuninya tetap menurun. Kegagalan sistem antarabangsa untuk menangani masalah itu telah menyebabkan wujudnya penindasan, ancaman terhadap nyawa manusia serta masalah pelarian yang besar.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan UKM –UNESCO “The Asia Pacific Century: Challenges to Human Dignity” di sini semalam. Ucapannya itu telah di bacakan oleh Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Prof. Dr. Sharifah Mastura Syed Abdullah.

Persidangan dua hari itu bertemakan “The Asia Pacific Century: The Challenges to Human Dignity” berusaha untuk mendefinasikan ‘Kemuliaan Manusia’ (Human Dignity) dalam konteks budaya timur bertujuan untuk mengekalkan keamanan serantau. Lebih daripada 45 kertas kerja dibentang dan dibincangkan.

Prof Sharifah Hapsah berkata takrif kemuliaan manusia perlu dinilai semula. Definasi yang diguna pakai oleh barat mungkin tidak sesuai dengan rantau Asia Pasifik yang mempunyai pelbagai budaya dengan ujudnya berbagai konflik yang berbeza dengan perkembangan di barat.

“Saya percaya persidangan ini akan mendebatkan konsep ‘Maruah Manusia” dari segala sudut aktiviti manusia. Perbincangan yang lebih mendalam dan penjelasan mengenainya dikehendaki di peringkat akademik supaya agenda keamanan, kemanusiaan dan kemuliaan manusia dapat dimajukan kepada masyarakat dan pihak yang bertanggungjawab”

 

Lebih daripada 100 cendekiawan, ahli akademik dan pelajar pasca siswazah daripada 16 buah negara menghadiri Persidangan itu yang juga menumpukan kepada perbincangan mengenai Sejarah, Politik, Pengajian Strategik dan Perubahan Iklim di rantau itu.

Persidangan dijangka dapat menjelaskan definasi Kemuliaan Manusia dalam konteks ketimuran. Ia akan meliputi pelbagai isu termasuk Kemuliaan Manusia: Konflik dan MasyarakatDasar Luar & Hubungan Antarabangsa, Etika Perubahan Iklim & Sumber, Jantina & Pembangunan dan Demokrasi, Masyarakat Sivil & Nasionalisme.

Persidangan juga akan membincangkan isu keselamatan. Jika sebelum ini Ekstremis Islam dipersalahkan sebagai penyebab konflik, kini ia telah diganti dengan ancaman yang lebih menakutkan iaitu perubahan iklim.

Dr Darryl Macer, Penasihat Serantau Asia Pasifik dalam bidang Sains Kemanusiaan UNESCO berkata “ Konsep kita mengenai keselamatan manusia kini telah tercabar dengan perubahan iklim yang mendadak dan dramatik. Malangnya persetujuan antarabangsa untuk menanganinya demi kebaikan semua masih gagal dicapai,”

 

Bebagai peraturan antarabangsa melindungi berbagai hak manusia seperti hak asasi sudah pun termaktub dan usaha praktikal perlu di jalankan untuk memenuhi apa yang telah dipersetujukan demi kebaikan masa hadapan, katanya.

Prinsip universal yang sudah disepakatkan adalah berdasarkan ideologi ahli kitab terdiri dari orang Islam, Kristian dan Yahudi .

“Beberapa tradisi timur sukar untuk menerima kebenaran ketuhanan yang universal ini dan prinsip universal yang berdasarkan akal manusia. Dengan itu pandangan dan pendirian berbeza ini perlu di ambil kira,” katanya.

Persidangan tersebut dipengerusi oleh Dr Ravichandran Moorthy, pensyarah kanan di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UKM. Turut hadir ialah Pengurusi Pusat itu, Prof Dr. Nordin Bin Husin.