UKM, Palang Merah meterai perjanjian tingkat kerjasama

ISNIN, 01 NOVEMBER 2010 20:19

Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Saliman Leman

Bangi, 1 Nov 2010 – UKM berharap dapat bekerjasama dengan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) untuk menyediakan kurikulum mengenai Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa bagi pelajar siswazah dan pascasiswazahnya.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dr. Saran Kaur Gill melahirkan harapan itu diupacara pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) di antara UKM (Fakulti Undang-Undang) dan ICRC di sini hari ini.

Berucap di majlis itu, beliau berharap perjanjian itu akan mewujudkan kolaborasi bermakna bagi meningkatkan kerjasama dalam pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan serta berkongsi pengetahuan dan pengalaman.

“Dengan perkembangan ini, universiti mahu melihat lebih ramai kemasukan pelajar antarabangsa dan tempatan di fakulti undang-undang bagi menjalankan penyelidikan mengenai isu konflik bersenjata yang belum diterokai.

“Pelajar-pelajar ini datang dari negara-negara yang dilanda konflik dan berusaha gigih untuk mencari jawapan yang mungkin membantu jika tidak menyelesaikannya tetapi mungkin juga mengurangkan penderitaan rakyat di negara mereka,” katanya.

Prof. Saran Kaur berkata terdapat  peluang besar untuk menjalankan penyelidikan mengenai undang-undang kemanusiaan dalam konteks yang relevan kepada pelajar pascasiswazah.

Malah sesetengah daripada pensyarah Fakulti Undang-undang UKM boleh mendapat pengalaman berurusan dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan mengenai isu-isu berkaitan pencari perlindungan di Malaysia melibatkan masyarakat Rohingya.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada fakulti setelah program bantuan guamannya untuk golongan miskin melalui Pusat Perundingan Undang-undang UKM diperuntukkan RM48,000 oleh Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat.

Dekan Fakulti Undang-Undang UKM, Profesor Dr. Aishah Bidin berkata walaupun undang-undang kemanusiaan antarabangsa belum ditawarkan sebagai satu subjek di fakulti itu, ia telah digabungkan dalam pelbagai komponen dalam mata pelajaran wajib tahun tiga iaitu Undang-undang Awam Antarabangsa.

Ia adalah satu keperluan asas yang semua pelajar UKM perlu lalui selepas tahun tiga lantas memahami prinsip asas hak asasi manusia antarabangsa termasuk hak manusia yang hakiki (Piagam PBB, hak-hak awam dan ekonomi, politik) dan hak asasi berorientasikan masyarakat, undang-undang antarabangsa berkaitan konflik bersenjata dan undang-undang asas yang lain.

“Oleh itu, bagi memastikan pelajarnya diperlengkapkan dengan isu-isu kontemporari, kami percaya bahawa pengenalan undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia tidak dapat dielakkan dan amat penting untuk memastikan pelajar kita mengikuti perkembangan semasa sejajar pelajar seangkatan mereka,” tambah beliau.

Dengan adanya isu-isu seumpama itu menguasai lingkungan perundangan berkaitan dengan Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan kontemporari, Fakulti Undang-undang yakin bahawa adalah penting untuk melebarkan kolaborasi dengan ICRC dalam mencapai kemajuan dalam bidang akademik.

Beliau berkata bahawa Fakulti itu telah pun menandatangani pelbagai MOU dan surat hasrat bukan saja dengan beberapa buah universiti di United Kingdom,Tasmania, Iran dan Indonesia tetapi juga dengan sektor industri dan agensi kerajaan dalam mencapai kecemerlangan dalam penyelidikan, pertukaran pelajar dan meningkatkan program peningkatan akademik.

Suatu kumpulan penyelidik dari fakulti itu juga sedang mengendalikan kajian di seluruh negara dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk menilai tahap pematuhan tanggungjawab korporat di kalangan syarikat.

Perbincangan juga diadakan bagi membolehkan para akademik UKM menjalani latihan di biro bantuan guaman negeri dan Majlis Peguam.

“Adalah menjadi harapan kami, apa yang dilakukan itu akan membawa fakulti undang-undang lebih rapat lagi dengan masyarakat,” tambah beliau.

Pihak Palang Merah diwakili oleh Ketua Delegasi Kuala Lumpur, Encik Tobias Epprecht. Turut hadir adalah Penasihat Undang-undang Serantau ICRC Kuala Lumpur, Encik Richard Desgagne.