Fakulti Perubatan UKM tempat rebutan untuk latihan kepakaran

AHAD, 08 OGOS 2010 09:58
Oleh Shahfizal Musa

BANGI, 7 August 2010 – UKM telah berjaya menangkis keraguan awal sesetengah pihak dengan berjaya menghasilkan pakar perubatan dan perundangan yang disanjungi banyak negara maju, kata Naib Canselornya, Prof. Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabuddin.

Berucap di sesi kedua konvokesyen UKM ke-38 petang tadi beliau berkata kini Fakulti Perubatan yang menjadi tunggak kepada pusat perubatan UKM menjadi tempat rebutan dalam latihan kepakaran bukan sahaja di dalam negara malahan bagi doktor luar negara.

“Maka tidak hairanlah alumni fakulti ini menjadi pakar terkenal di beberapa negara luar,” tambah beliau.

Seramai 755 orang pelajar dari Fakulti Perubatan, Fakulti Undang-Undang, Fakulti Pergigian dan Institut Perubatan Molekul menerima ijazah masing-masing di upacara itu.

Beliau mengucap tahniah kepada Professor Dr. Micheal Kerin Morgan dari Australian School of Advanced Medicine, Macquarie University yang telah dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Bidang Neurosurgeri. Professor Morgan telah membuat sumbangan besar kepada kemajuan dalam bidang neurosurgeri.

Seorang pelajar bidang perubatan yang telah lulus dengan cemerlang, Farin bt Masra diberikan Anugerah Naib Canselor .

Farin adalah anak sulung daripada tiga orang adik beradik berkata “ Saya adalah anak kepada seorang ibu tunggal dan perlu menunjukkan contoh yang baik kepada adik-adik yang lain. Saya rasa kejayaan saya adalah kerana restu dari ibu, dan pensyarah-pensyarah yang mengajar saya,”

Fakulti Perubatan UKM hingga kini telah menghasilkan seramai 4626 doktor dan 2677 pakar dalam berbagai bidang.

“Hospital kita HUKM, satu-satunya hospital yang diiktiraf sebagai hospital rujukan bagi Formula 1.  HUKM terus menerokai perkhidmatan kepakaran khusus seperti implant koklear, tulang belakang, terapi sel, fertiliti, teknik pembedahan jantung, kanak kanak dan lain lain yang terkini dan telah dapat mengurangkan kos rawatan,” kata Prof. Tan Sri Sharifah Hapsah

Fakulti Perubatan telah meraih beberapa pencapaian bertaraf dunia seperti KULITKU; kejuruteraan tisu kulit manusia di mana pakar-pakarnya dapat membuat kulit manusia.

“Kehandalan penyelidik perubatan telah terbukti  dengan pemilihan Institut Perubatan Molekul atau UMBI sebagai salah satu Pusat Kecermelangan Pengajian Tinggi (HICoE)” kata beliau.

Pengiktirafan tersebut telah membolehkan UMBI memperolehi dana sebanyak RM9 juta bagi penyelidikan kanser.

Manakala Fakulti Pergigian pula memperuntukan RM35 juta untuk melahirkan graduan yang mahir supaya dapat menbantu warga Fakulti Pergigian meningkatkan penyelidikan yang berkualiti .

Sementara itu Fakulti Undang-undang telah melahirkan 1581 tenaga profesional yang mengisi jawatan dalam bidang kehakiman dan bidang yang lain.