Gabenor Riau bertekad bangunkan modal insan, atasi kemiskinan

SABTU, 07 OGOS 2010 19:10
Oleh Abdul Ghani Nasir

BANGI, 7 Ogos, 2010 – Gabenor Provinsi Riau, Indonesia, Datuk H.M. Rusli Zainal bertekad membangun modal insan dengan menumpukan kepada bidang pendidikan rakyat sambil meneruskan usaha untuk membasmi kemiskinan.

Berucap setelah menerima Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Bidang Pembangunan Pendidikan di Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-38 hari ini, beliau berkata: “Perkembangan dan kemajuan pembangunan negara amat terletak pada kualiti kehidupan rakyatnya.

“Rakyat yang bijaksana, berfikiran cemerlang dengan segala penguasaan ilmu di dada, serta mahir dan pintar melakukan sesuatu kerja tugasan dengan cergas menjadi impian kita semua.”

Pembangunan infrastruktur di desa dan pendidikan pasti akan membantu bagi mencapai matlamat melahirkan murid yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Namun , beliau mengingatkan selain pendidikan formal yang mengutamakan sains dan teknologi, pembangunan akhlak atau karakter dan pegangan kepada kehendak agama tidak boleh diketepikan.

Dalam ucapannya itu, Datuk Rusli turut menceritakan pengalaman pahitnya berjalan ke sekolah menyusuri kebun kelapa dan rawa-rawa dan perlu mendayung sampan sejauh 15 kilometer.

Sebab itulah setelah dilantik Gabenor Riau sejak awal 2004, beliau mengutamakan program pembasmian kemiskinan dan buta huruf serta pembangunan infrastruktur di daerah pentadbirannya di Riau.

Datuk Rusli, putera kepada H. Zainal dan Siti Atiqah, dilahirkan di Mandah, Indragiri Hilir, Riau, Indonesia pada 3 Disember 1957. Beliau mendapat pendidikan awal di Tembilahan dan Pekanbaru.

Kecemerlangan dalam pelajaran melayakkan beliau melanjutkan pengajian di Universitas Riau dalam bidang ekonomi dan seterusnya  ke Institut Pertanian Bogor dalam bidang Magister Profesional.

  
Sebagai seorang yang prihatin nasib bangsanya yang mundur, Rusli berazam untuk melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah itu sejak zaman kemahasiswaannya lagi.

Pada tahun 1988 sehingga kini beliau telah menjawat pelbagai jawatan dalam organisasi pemerintah dan badan bukan kerajaan.

Keprihatinan beliau terhadap pembangunan dan kepemimpinan cemerlang yang telah dibuktikan, menerima pengiktirafan umum dengan pemilihannya sebagai Gabenor.

Selain membina infrastruktur pendidikan beliau menyediakan pelbagai kemudahan  berupa biasiswa kepada pelajar Riau melanjutkan pelajaran ke universiti termasuk di Malaysia.

Hingga kini terdapat 300 pelajar Riau di UKM yang belajar di pelbagai peringkat pengajian.