Graduan cemerlang teruskan pengajian ke peringkat sarjana

RABU, 04 OGOS 2010 20:07
Oleh Abdul Ghani Nasir

BANGI, 4 Ogos, 2010 – Lima graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima anugerah sempena Konvokesyen ke-38 kerana pencapaian cemerlang dalam pengajian dan kegiatan ko-kurikulum.

Dua graduan menerima Anugerah Pelajaran Diraja. Mereka adalah Nazirah binti Hassan, 23, yang memperolehi Ijazah Sarjanamuda Sains Sosial Dengan Kepujian  dalam bidang Pembangunan Manusia dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) , turut menerima Hadiah Buku untuk FSSK dan bidang pembangunan manusia.

Nazirah merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan Ph.D demi mencapai cita-citanya menjadi pensyarah bidang kaunseling

Sophia Marie Chung Suet Wan, 24,yang memperolehi Ijazah Sarjanamuda Perakaunan dengan Kepujian  dari Fakulti Ekonomi dan Perniagaan juga menerima Hadiah Tan Sri Halim Saad. Beliau kini bekerja dengan Sime Darby yang menaja pengajiannya selama ini. Sophia juga merancang mendalami bidang perakaunan dengan mengambil peperiksaan profesional.

Mereka berdua mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang akademik dan aktif menyertai kegiatan ko-kurikulum, memberi sumbangan bakti kepada masyarakat iaitu menjalankan tugas sukarela selain ada ciri-ciri kepemimpinan serta sifat keperibadian yang mulia.

Mereka masing-masing akan menerima pingat emas bernilai RM1,000, wang tunai RM5,000 dan sekeping Sijil Penghargaan.

Dr Farin binti Masra, 24,yang mendapat Ijazah Sarjanamuda Perubatan dari Fakulti Perubatan terpilih menerima Anugerah Naib Canselor. Dr Farin juga menerima Hadiah Buku untuk Fakulti Perubatan dan Hadiah Buku Pediatrik Dr Abdul Malek Abdullah.

Beliau akan menerima hadiah wang tunai RM2,500 dan buku terbitan Penerbit UKM. Dr Farin merancang untuk mengkhusus dalam bidang perubatan kanak-kanak dan gigih mencapai cita-citanya menjadi pensyarah.

    
Dua orang akan menerima Anugerah Tun Abdul Razak disumbangkan oleh Yayasan Tun Razak.

Syakirah binti Edrus,23, graduan Ijazah Sarjanamuda Pengajian Islam dengan Kepujian dalam bidang Pengajian Dakwah dan Kepimpinan daripada Fakulti Pengajian Islam (FPI) turut menerima Hadiah Buku untuk FPI  bagi bidang berkenaan. Syakirah juga merancang mengikut pengajian ke peringkat sarjana bidang kaunseling.

Muhammad Adnan bin Pitchan, 24, graduan Ijazah Sarjanamuda Sains Sosial dengan Kepujian dalam bidang Komunikasi dan Dasar Awam dari Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK). Beliau juga menerima Hadiah Buku untuk FSSK bagi bidang Komunikasi dan Dasar Awam. Adnan  bercita-cita menjadi pensyarah dan kini meneruskan pengajian ke peringkat sarjana.
Mereka berdua akan menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan pingat emas bernilai RM1,000.