Konvokesyen UKM penuh tradisi dinantikan keluarga dan pelajar

RABU, 11 OGOS 2010 15:35

Oleh Kuah Guan Oo dan Abdul Ghani Nasir

BANGI, 11 Ogos 2010 – Majlis konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mengembirakan, diliputi tradisi, berwarna warni dan meriah selama empat hari sudah pasti membanggakan ibu bapa, para graduan dan tidak kurang juga adik beradik serta saudara mara lain.

Di wajah para graduan terlukis keriangan sedang mereka bersama-sama ibu bapa, adik beradik dan ada juga yang ditemani datuk dan nenek, kelihatan berdiri atau beraksi memetik kamera dan video di pekarangan kampus universiti hingga membawa suasana berpesta antara mereka.

Apa yang membuat konvokesyen ini lebih diingati adalah kebanyakan daripada mereka yang hadir berpakaian sungguh kemas dan menarik sambil mundar mandir di sekeliling Dewan Canselor Tun Razak (Dektar) dimana konvokesyen itu berlangsung berterusan mengambil gambar.

Tidak kira Melayu, Cina ataupun India, majlis konvokesyen yang bermula pada Sabtu lalu sememangnya dinanti-nantikan oleh ibu bapa khususnya yang menganggap ijazah yang dipegang anak-anak mereka sebagai ganjaran terhadap pengorbanan dan pahit jerih membesarkan anak.

Di tengah-tengah suasana kemeriahan itu, ada juga yang sudah berlanjutan umur tertidur di kerusi di koridor dewan mungkin terlalu penat menunggu lama dari awal pagi untuk menghadiri upacara itu.

Pada konvokesyen 38 UKM yang berlangsung selama empat hari sejak Sabtu dengan dua sesi sehari, seramai 7,376 graduan menerima ijazah mereka. Daripada itu, 233 menerima ijazah doktor falsafah (Ph.D), 183 sarjana kepakaran doktor perubatan dan doktor  gigi, 1380 ijazah Sarjana, 5,097 ijazah  Sarjanamuda, 402 lulusan diploma eksekutif dan 72 diploma.

Bagi pasangan suami isteri, Ahmad Baqir bin Ramli, 42 dan Nor Azilah binti Hamzah@Abdul Razali, 40 yang sama-sama menerima ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian untuk Pengajian Bahasa Melayu ia adalah kemuncak pengorbanan mereka selama empat tahun belajar sambil masih bekerja.

Mereka berdua sama-sama mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Khee Chee in Temerloh, Pahang dan dengan itu terpaksa berulang alek setiap Sabtu dan Ahad antaraTemerloh dan Bangi untuk mengikuti kuliah pengajian secara jarak jauh mereka.

Keduanya menganggap kehidupan mereka ketika itu sungguh mencabar tetapi tetap indah. “Kami amat beruntung kerana kedua-dua anak kami kini sudah remaja dan mereka memahami keperluan kami meneruskan pengajian,”kata Azilah

Bagi Puan Zuraifa bt Md Radzi, 43, menanti saat anak sulungnya Nur Faradilla Roslan naik ke panggung dewan untuk menerima ijazah Sarjanamuda Oleokimia membuat hati beliau berdebar-debar.

“Saya agak sayu dan amat  gembira kerana penat lelah saya selama ini akhirnya berbalas, “ katanya.

Puan Zuraifa yang bekerja sebagai kerani dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja di Kuala Lumpur berkata beliau tidak pernah ke majlis konvokesyen sebelum ini dan berasa gerun dengannya.

“Tetapi mujur segalanya diatur dengan baik dan tidak kelam kabut,” kata ibu kepada empat anak ini dengan yang bongsu berumur 13 tahun.

Suaminya,  Encik Roslan bin Mat Ali, 50, yang bertugas sebagai pegawai keselamatan dengan Malaysian Airports Berhad berkata beliau gembira dan teruja melihat anak perempuannya berjaya dalam pengajiannya di UKM.

“Jika boleh saya mahu semua anak saya yang lain mengikut jejak langkah kakak mereka,” katanya.

Nur Faradilla, 22, yang kini bekerja sementara sebagai pentadbir berkata beliau begitu gembira dapat hadir di majlis konvokesyen itu. Sambil memegang sejambak bunga dan ijazahnya, beliau bergambar bersama-sama ibu bapa, nenek, adik beradik dan pakchik serta makcik di luar Dectar.

Bagi keluarga Padasan, perjalanan jauh dari rumah mereka di Lunas, Kedah untuk melihat anak sulong mereka, P. Shobita, 25, menaiki pentas untuk menerima ijazah Sarjanamuda dalam Bioinformatik, tetap berbaloi.

Pusm Padasan a/l Veeriam, 56, seorang guru mendapati majlis itu amat teratur dan berjalan dengan baik. Isteri beliau, Yawanarani a/p Perumal, seorang guru besar berkata majlis konvokesyen itu sememanngya dinanti-nantikan.

Beliau dan suaminya mengambil cuti dan membawa bersama anak-anak yang lain ke konvokesyen itu untuk memberi inspirasi kepada mereka supaya belajar bersungguh-sungguh.

 Shobita memberitahu pada mulanya beliau agak gementar tetapi ketika berbaris bersama rakannya yang lain menunggu giliran naik pentas perasaan bimbang itu telah hilang.

Shobita yang kini bekerja dalam Information Support Technology dengan Datacom sebuah Syarikat IT dari Amerika Syarikat di Damansara, berasa amat  selesa dengan majlisyang berjalan dengan teratur itu.

Turut sama gembira dan teruja adalah keluarga Lim dari Pulau Pinang yang datang untuk melihat anak mereka, Joanna Lim Wee Ling, 23, menerima ijazahnya dalam bidang Kimia.

Bapa Wee Ling, Lim Theam Chye, 51, seorang Pengurus Sumber Manusia, berkata beliau amat gembira melihat anak sulongnya naik ke pentas.

Sambil memegang sebuah kamera video, beliau berkata ini adalah kali pertama beliau menghadiri sesuatu konvokesyen. Beliau bersama isterinya berkereta dari Pulau Pinang ke Bangi, sehari sebelum acara.

Joanna, yang merancang mengikuti pengajian peringkat sarjana juga dalam subjek kimia di UKM atau Universiti Sains Malaysia berkata beliau amat gembira dan tidak kurang juga gugup. Beliau bercita-cita menjadi seorang pensyarah.

Bagi Siti Haslina binti Mohd Shafie, 23, kehidupan ibu bapanya yang agak sukar jadi penggerak baginya belajar dengan lebih gigih lagi.

Beliau amat berterima kasih kepada Jabatan Perkhidmatan Awam kerana membiayai pengajiannya hingga lulus ijazah sarjanamuda.

Anak pesawah dari Langgar, Alor Star ini begitu gembira permohonannya untuk meneruskan pengajian diperingkat Sarjana bidang geografi sudah diluluskan.

Haslina yang hanya tinggi 120 sentimeter akan terus menetap di Kolej Dato’ Onn kerana “saya hanya berjalan melintasi jalan kampus untuk ke Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,” katanya.