Rodiah lebih konfiden, tabah hadapi tekanan kerja

AHAD, 08 OGOS 2010 13:27
Oleh Abdul Ghani Nasir

BANGI, 8 Ogos, 2010 – Berbekalkan anugerah Tesis Cemerlang 2010, Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) Fakulti Pendidikan di Konvokesyen UKM hari ini, Rodiah Idris  berazam untuk melahirkan pelajar  Sekolah Bestari (High Performance Schools)  yang holistik dan mampu berdaya saing di persada antarabangsa.

Rodiah Idris yang kini mula bertugas sebagai Penolong Pengarah Kanan di Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pelajaran Malaysia, berhasrat untuk memantapkan soft skills pelajar-pelajar di sekolah itu yang menekankan kecemerlangan menyeluruh ia aitu selain daripada kecemerlangan akademik, soft skills juga diperlukan untuk menjadi lebih berjaya dalam pekerjaan dan kehidupan.

Ibu kepada tiga anak ini membuat tesis bertajuk: Pemeriksaan Ciri-ciri Psikometrik dan Pembentukan Penanda Aras Pentaksiran Kemahiran Generik.

Rodiah menceritakan semasa menjadi guru selama lima tahun, beliau amat  berminat untuk menambah pengetahuan apatah lagi melihatkan ramai rakannya berlumba-lumba berbuat demikian.

Beliau lulus ijazah sarjana muda pada 1989 dan hanya pada 2002 meneruskan pengajian ke tahap sarjana sebelum memutuskan untuk belajar ke peringkat Ph.D dua tahun lalu dalam bidang pengukuran dan penilaian.

Rodiah memuji keprihatinan dan kasih sayang fakulti pendidikan UKM, khususnya penyelia akademik beliau,  Prof Datin Dr Siti Rahayah Ariffin dan Prof Madya Dr Noriah Mohd Ishak yang telah meletakkan beliau di puncak kecemerlangan dalam pencapaian akademiknya.

Selain mendapat sokongan dan galakkan daripada ibu, bapa beliau yang kedua-duanya berumur 75 tahun, anak kelahiran Kuala Lumpur ini juga mendapat inspirasi melihatkan ramai saudara maranya giat belajar mendapatkan ijazah tambahan. Sokongan dan kasih sayang yang erat daripada suami telah menyuntik semangat untuk memartabatkan institusi pendidikan ketahap yang lebih cemerlang.

Mengenai tesisnya, Rodiah menjelaskan ia bertujuan untuk memeriksa fungsi item Instrumen Kemahiran Generik (MaGSI) bagi memilih item yang sah, adil dan berkualiti. Seterusnya ia akan dapat membentuk penanda aras kemahiran generik pelajar prasiswazah UKM.

Hasil kajiannya mendapati bahawa penguasaan kemahiran generik pelajar UKM adalah tinggi khususnya dalam kemahiran komunikasi, tanggungjawab sosial, pemikiran kritikal dan menyelesaikan masalah. Secara keseluruhannya penguasaan kemahiran generik pelajar perempuan adalah lebih tinggi berbanding pelajar lelaki.

Pembinaan MaGSI adalah berdasarkan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) yang berlandaskan teori kognitif dan behaviorisme. Kajian ini merangkumi analisis keperluan dan kajian sebenar.  Kajian keperluan melibatkan temu bual dengan enam pakar, 16 pekerja dan tinjauan ke atas 110 pelajar prasiswazah, tambah beliau.