Sharifah Hapsah dilantik semula sebagai Naib Canselor UKM untuk dua tahun lagi

ISNIN, 23 OGOS 2010 07:27

Oleh Radzuan Ghazali

Bangi, 20 Ogos 2010 – Prof Tan Sri Dato’ Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin telah dilantik semula sebagai Naib Canselor UKM untuk tempoh dua tahun hingga 27 Ogos 2012. Beliau mula menerajui UKM sejak 27 Ogos 2006.

Lanjutan tempohnya itu telah diumumkan oleh Pengurusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Dato’ Paduka Mazlan Ahmad dalam satu kenyataan hari ini.

Sambil mengucapkan tahniah diatas perlantikan itu, Tan Sri Mazlan juga berharap semua warga UKM akan memberi sokongan padu kepada Prof Sharifah Hapsah supaya beliau dapat terus memberi khidmat terbaik dan cemerlang kepada UKM.

Tan Sri Mazlan berkata perlantikan itu dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi selaras dengan peruntukan Seksyen 12 (1) Perlembagaan UKM.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan dari Universti Malaya pada 1973, Ijazah Sarjana Kesihatan (Pendidikan Personel) dari University of New South Wales, Australia (1982) dan  Doctorate in Medicine pada 1997.

Prof Sharifah Hapsah memulakan kerjaya sebagai pensyarah di Fakulti Perubatan UKM pada 1975 dan jawatan terakhir di UKM sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Perubatan.  Pernah menjawat beberapa jawatan seperti Pengarah Hubungan Antarabangsa UKM (1996-2000), Timbalan Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (2000-2004) dan Pengarah Bahagian Jaminan Kualiti, Kementerian Pengajian Tinggi (2004-2005).