UKM ada potensi perkasakan muzik: Johari Salleh

ISNIN, 09 OGOS 2010 18:24

Oleh Abdul Ghani Nasir

BANGI, 9 Ogos, 2010 – Penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kesenian) Dato’ Johari Salleh yakin Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mempunyai tanggungjawab dan potensi untuk membina korpus dalam bidang pengajian muzik alam Melayu.

Dengan permasalahan istilah dan buku dalam bahasa Melayu yang masih tandus, barangkali sampai ketikanya pengajian muzik di universiti diperkasakan lagi, katanya.

Dalam ucapan menerima penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kesenian) di sesi kelima Majlis Konvokesyen UKM ke-38, hari ini beliau berkata:

”Menyedari kepentingan muzik dalam kehidupan berbudaya tinggi, UKM pernah melakukan usaha konkrit untuk menawarkan program Sarjanamuda Pengurusan dan Pengajian Muzik, yang telah pun digerakkan ke tahap terakhir untuk dilaksanakan.

“Komponen pengajian muzik dan pengurusan termasuk perakaunan, pemasaran, keusahawanan dan perundangan menjadi teras dalam program ini.”

Dato’ Johari menjelaskan program berkenaan bukan saja bakal melahirkan golongan profesional bidang pengurusan, penyelidikan dan teknologi muzik, malah memiliki nilai jati diri yang subur, bagi mengangkat kedudukan budaya dan seni muzik tanah air dan Nusantara kepada tahap yang lebih bermartabat.

“Namun disebabkan faktor tertentu, perancangan berkenaan masih belum berjaya dijelmakan. Justeru, dengan rasa rendah hati, saya mengharapkan program pengajian muzik, yang akan mendukung kewibawaan UKM sebagai universiti kebangsaan itu, dapat diperkasakan semula.

“Pada hemat saya, dengan penggemblengan pelbagai kepakaran, UKM sangat berpotensi untuk mencetuskan suatu program pengajian muzik yang unik, komprehensif dan mempunyai kelestariannya menempuh zaman yang terus berubah,”  katanya.

Penganugerahan itu disampaikan oleh Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus  Tuanku Muhriz Ibni Al-Marhum Tuanku Munawir Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia.

Turut hadir adalah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus  Tuanku Aishah Rohani Binti Al-Marhum Tengku Besar Mahmud.

Pemidato Umum bagi Dato’ Johari disampaikan oleh Prof. Madya Dr Kadderi Md Desa. Beliau menjelaskan beberapa karya simfoni Dato’ Johari Salleh pernah dipersembahkan oleh The New York Symphonic Ensemble, Singapore Symphony Orchestra, St.Pittersburg Philharmonic Orchestra dari Russia dan Cadaquez Symphony Orchestra. Beliau banyak berkarya dalam bentuk muzik simfonik untuk digunakan oleh orkestra-orkestra besar  seperti dari Spanyol, Orkestra Sinfoni Kebangsaan Malaysia dan Kuala Lumpur Symphony Orchestra.

Pada 22 Mei 2010 Johari Salleh bertanggungjawab menyusun musik dan memimpin Konsert DiRaja Universiti Kebangsaan Malaysia yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak.

Johari Salleh dilahir pada 9 Februari 1940. Anak lelaki kepada keluarga Puan Munarah Shuib, berasal dari Singapura dan Mohd Salleh Bin Mohamad berasal dari Melaka. Dibesarkan di Singapura, Johari Salleh mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris .

Dua dekad pertama Johari Salleh sangat menarik dan jika ada hipotesis mengenai kejayaan 20 tahun pertama menentukan kejayaan cemerlang 50 tahun berikutnya, Johari Salleh adalah modelnya, kata Pro Madya Kadderi.

Sebelum berusia 20 tahun beliau telah menerokai bakat dan menempa kejayaan. Bermula tahun 1953, Johari Salleh mendapat pendidikan muzik dan pengubahan lagu daripada ayahnya sendiri serta dari tokoh dan guru muzik bernama Saaban Saliman.

Pada tahun 1966 Johari Salleh telah dinaikkan pangkat sebagai Pemimpin Orkestra RTM. Pada tahun 1968 Johari Salleh mendapat Diploma in Music(Composition and Arrangement) daripada Berklee College of Music, Boston, USA.Diploma diperolehi merupakan satu pengiktirafan antarabangsa kepada beliau.

Bakat seni Johari Salleh sentiasa diiktiraf. Pada tahun 1986 beliau telah diberi tanggungjawab mencipta lagu korporat sebagai hadiah khas kepada UMNO “Bersatu, Bersetia, Berkhidmat” yang kekal digunakan sehingga kini. Kerjaya beliau seterusnya menjadi Pengarah Muzik Orkestra Kuala Lumpur antara 1988-2000 dan bertanggungjawab menubuhkan Orkestra Kuala Lumpur. Selanjutnya sebagai Perunding Muzik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur antara 2001-2004.

Seterunya berkhidmat sebagai Felo Tamu Pusat Kebudayaan UKM mulai 2004 hingga 2008. Semasa berkhidmat sebagai Felo Tamu Johari Salleh diberikan tanggungjawab mengubah dan merakam semula anthem kebangsaan NEGARA KU.

Pada masa sekarang Dato’ Johari berkhidmat sebagai Felo Kanan di Pusat Perkembangan Pelajar, UKM. Pada tahun ini beliau telah mengubah lagu Mengilham Harapan Mencipta Masa Depan untuk UKM.