Universiti tempat paling tepat untuk gerakkan inovasi

KHAMIS, 05 OGOS 2010 20:27
Oleh Abdul Ghani Nasir


BANGI, 5 Ogos 2010 – Universiti adalah tempat paling tepat menggerakkan inovasi khususnya ketika masyarakat di Malaysia seperti juga di Amerika Syarikat semakin sedar betapa pentingnya agenda ini diberikan tumpuan.

Menegaskan demikian, Presiden Interim, Stevens Institute of Technology (SIT), Amerika Syarikat, George P Korfiatis menambah bahawa bagi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kejayaan mengeksploitasi inovasi akan bermakna bahawa ia akan menambah satu lagi tonggak kepada sesebuah universiti iaitu sebagai pusat penyelidikan, pendidikan dan kemampuan memasarkan produk hasil daripada inovasi.

Beliau memberi jaminan kolaborasi di antara UKM dengan SIT akan diteruskan malah beliau begitu tertarik dengan pemikiran terkehadapan pucuk pimpinan negara dan juga universiti berkaitan inovasi  dan hubungannya dengan pusat pengajian tinggi.

“UKM dan SIT berkongsi  pandangan dan mempunyai matlamat yang sama dalam memasukkan pendidikan keusahawanan dan inovasi dalam universiti dan kerana inilah kita sudah membuat komitmen untuk meneruskan jalinan kerjasama,” katanya.

Beliau berkata kini rakyat di kebanyakan negara termasuk Malaysia semakin sedar akan faedah yang bakal diperolehi daripada inovasi dan mahu ia diberi keutaman dengan rancangan inovasi dilaksanakan.

 Universiti adalah tempat paling tepat membuat inovasi kerana di sinilah generasi pemimpin akan datang dilatih dalam usia yang masih muda dan golongan inilah yang dalam masa 10 hingga 20 tahun akan datang akan memikul beban memindahkan pencapaian inovasi  dari dalam universiti kepada masrayakat.

Mengenai Program Membina Kapasiti UKM-SIT yang berlangsung dalam tiga modul dari bulan Jun hingga 4 Ogos dengan dihadiri 100 orang bakal usahawan di Puri Pujangga, di sini, Korfiatis berkata apa yang penting kini adalah membawa hasil teknologi dan inovasi ke tahap menjadi satu bentuk perniagaan yang maju.

SIT  juga akan meneruskan program tersebut dengan UKM dan berharap ia menjadi titik permulaan untuk melibatkan universiti lain untuk berkongsi faedah dan mengubah pencapaian teknologi menjadi perniagaan yang menguntungkan.

Mengenai kerjasama dalam bidang pendidikan, Korfiatis menyatakan kini terdapat 20 orang pelajar Malaysia sedang menuntut di SIT di Amerika Syarikat.

  
Institut itu juga, katanya, sedia membantu mengadakan program latihan dengan UKM bagi  melatih guru-guru sekolah demi mendedahkan pelajar di peringkat muda lagi kepada inovasi dan pemasaran. SIT telah membantu melatih 19,000 orang guru di New Jersey dalam bidang inovasi dan pemasaran.

Sementara itu satu sessi membincangkan rumusan dan strategi masa depan kolaborasi UKM-SIT berlangsung hari ini di Bilik Mesyuarat, Bangunan Canselori berikutan tamatnya modul latihan Program Membina Kapasiti UKM-SIT.

Naib Canselor UKM, Tan Sri Prof. Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabuddin,  Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Hal-ehwal Inovasi ) Prof Dr Rahmah Mohamed, Prof. Dato Mohd Noor Embi, Pengarah Pusat Inovasi Kolaboratif dan Prof Dr Fauzias Mat Nor, Dekan Pusat Pengajian Perniagaan turut hadir.

Selain Korfiatis, SIT diwakili Mr Malcolm Kahn, Dr Lex McCusker, Prof Dr Christos Christodoulatos, Prof Dr Murrae Bowden, Prof Dr Peter Koen, Prof Dr Gary Lynn dan Prof Dr Elliot Fishman. 

Diterjemahkan oleh Abdul Ghani Nasir