Amalan Tanggungjawab Korporat Yang Baik Adalah Suatu Peluang Bukannya Bebanan Kepada Syarikat

SELASA, 19 OKTOBER 2010 20:31

Oleh Kuah Guan Oo
Foto oleh Abd Raai Osman (Penerbit UKM)

Kuala Lumpur, 19 Okt. 2010 – Syarikat-syarikat harus melihat tanggungjawab korporat sebagai suatu peluang untuk maju bukannya sebagai suatu bebanan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob di sini hari ini.

Kerajaan, katanya, menyokong mana-mana syarikat yang secara sukarela menyerap piawai dan laporan Tanggungjawab Sosial  Korporat (TSK).

Sesetengah syarikat mungkin menganggap usaha untuk mengkanunkan TSK sebagai suatu halangan. Oleh itu ia akan diterima pakai hanya secara sukarela dan tidak akan dipaksa, katanya dalam acara majlis perasmian Persidangan Undang-Undang Tuanku Ja’afar 2010 yang bertemakan “Urus Tadbir Korporat dan Tanggungjawab Korporat.”

Persidangan dua hari itu dianjurkan bersama oleh Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan dirasmikan oleh Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Al-Marhum Tuanku Munawir selaku Canselor UKM.

Ismail Sabri berkata amalan urus tadbir korporat dan tanggungjawab korporat secara amnya akan memanfaatkan kedudukan syarikat dan membawa kepada peningkatan keuntungannya dengan lebih mantap. Dengan itu peranan Kerajaan adalah sebagai pemudah sahaja.

Beliau menggariskan beberapa sebab kenapa syarikat-syarikat harus berpegang kepada amalan urus tadbir korporat dan tanggungjawab korporat.

Ia bukan saja mempunyai kaitan positif dengan harga saham syarikat di bursa tetapi juga berkesan terhadap penilaian prestasi syarikat itu oleh pengguna, pelanggan dan pembekalnya.

Sebuah syarikat yang mempunyai nilai jenama yang baik hasil dari program tanggungjawab sosialnya akan dipandang tinggi berbanding dengan pesaingnya.

Mengamalkan urus tadbir korporat yang baik juga akan memberi keyakinan kepada pelabur asing bahawa syarikat itu bertanggungjawab, beretika dan telus dalam operasinya.

 

Ismail Sabri bangga kerana Malaysia telah diiktiraf oleh CSR Asia (Corporate Social Responsibility in Asia) sebagai negara ketiga, selepas Korea Selatan dan India, dalam penilaiannya terhadap amalan TSK oleh syarikat-syarikat yang tersenarai di 10 buah negara Asia.

Selepas Malaysia adalah Negeri Thai, Singapura, Indonesia, Taiwan, Hong Kong, Filipina dan China.

Syarikat-syarikat Malaysia mendapat penafaran tinggi, khasnya dalam bidang urus tadbir dan sosial. Walaubagaimana pun, beliau berkata Malaysia perlu terus melangkah ke arah yang betul di samping meningkatkan usaha untuk mencapai keputusan cemerlang.

Ismail Sabri berkata di bawah peraturan penyenaraian syarikat di Bursa Malaysia, syarikat di wajib mendedahkan amalan urus tadbir korporat mereka. Syarikat-syarikat yang tidak disenaraikan tidak perlu berbuat demikian.

Bagaimana pun beliau mendapati semakin banyak syarikat kecil dan sederhana juga telah menyerap elemen-elemen urus tadbir korporat baik dalam operasi harian mereka. “Tentunya, mereka sedarkan faedah amalan itu.”

Tuanku Muhriz, dalam ucapan perasmiannya, bertitah masyarakat kebelakangan ini telah menganggap urus tadbir korporat sebagai lebih penting daripada tujuan asas penubuhan sesebuah syarikat, iaitu memaksimumkan keuntungan untuk pemegang sahamnya.

“Pertubuhan korporat mempunyai kewajipan untuk menjalankan perniagaan mereka bukan sahaja untuk kebaikan pemegang saham mereka tetapi juga kepentingan lain dalam erti kata seluasnya,” titah baginda.

Memandangkan perlakuan syarikat-syarikat akan membawa kesan kepada isu ekonomi, politik dan sosial, baginda bertitah bahawa urus tadbir korporat bersama-sama dengan tanggungjawab sosial tentunya akan memberi kebaikan kepada orang ramai di mana syarikat itu beroperasi.

 

Naib Canselor UKM Prof Tan Sri Dato’ Dr Sharifah Hapsah bt Syed Hasan Shahabudin, dalam ucapan aluannya, berkata tema persidangan adalah hasil dari penyelidikan Fakulti itu mengenai urus tadbir korporat dan tanggungjawab syarikat.

Kedua hal itu merupakan usaha penyelidikan antara UKM dan SSM di mana mereka bekerjasama menjalankan suatu tinjauan nasional mengenai paras pematuhan terhadap tanggungjawab korporat oleh syarikat kecil dan sederhana (SMEs).

Urus tadbir pada amnya adalah isu semasa kerana UKM telah ditugaskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi  untuk menerajui usaha mewujudkan kod urus tadbir terbaik di universiti awam, supaya dapat menyediakan index urus tadbir terbaik yang akan digunapakai untuk menilai kesediaan universiti untuk autonomi.

Kerajaan, katanya, telah membuktikan kesungguhannya untuk menguatkan usaha urus tadbir korporat yang baik apabila ia meminda Akta Syarikat 1965 yang menekankan lapan prinsip penting; iaitu, ketulusan, penguatkuasaan undang-undang, penyertaan, tindak-balas, ekuiti, kecekapan dan keberkesanan, kelestarian dan kebertanggungjawaban.

Prof Sharifah Hapsah berkata penggabungan tanggungjawab korporat dalam tajuk persidangan, memberi petunjuk kepada syarikat untuk menimbang kepentingan berbagai pihak termasuk pemegang saham, pekerja, pengguna, pembekal dan masyarakat apabila menjalankan operasi mereka.

 

“Ini tidak memeranjatkan kerana masyarakat akan terlibat baik secara sengaja atau tidak oleh sebarang keputusan syarikat. Tanggungjawab sosial korporat adalah untuk kebaikan awam, selain daripada motif keuntungan,” katanya.

Prof Sharifah Hapsah berkata Fakulti Undang-Undang UKM  telah berjaya menghadapi cabaran dengan merancang usaha penyelidikan mengenai urus tadbir korporat dan tanggungjawab sosial korporat yang meliputi perkara seperti tanggungjawab syarikat, penguatkuasaan berkesan dan pematuhan syarikat kecil dan sederhana terhadap kehendak urus tadbir korporat dan TSK.

“Fakulti tersebut telah banyak menyumbang kepada visi kami untuk menjadi sebuah universiti penyelidikan terulung di dunia,” tambah beliau.