Peningkatan modal insan termasuk memberi ruang kepada yang terpinggir

RABU, 20 OKTOBER 2010 10:54

Oleh Ahmad Rejal Arbee
Foto oleh Muhd Nor Rahim (Fakulti Pendidikan)

BANGI, 19 Okt.  2010 – Malaysia memberi keutamaan kepada peningkatan potensi modal insannya termasuk menyediakan peluang pembelajaran kepada kanak-kanak terpinggir dan kurang upaya.

Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Senator Heng Seai Kie berkata mereka ini termasuk kanak-kanak autistik dan dilastik, yang pintar mahu pun yang kurang cerdas dan dari keluarga bercerai.

Berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Pembelajaran Kepelbagaian (ICELD 2010) yang dianjurkan Fakulti Pendidikan UKM di sini hari ini, beliau berkata kementeriannya yang berpegang kepada konsep masyarakat prihatin telah menjalankan berbagai program untuk memenuhi kehendak berbagai golongan dari pelbagai latar belakang.

Persidangan itu adalah lanjutan daripada persidangan ICELD 2008 juga di langsungkan di UKM. Persidangan itu dihadiri oleh kira-kira 100 orang peserta termasuk dari luar negara serta wakil Unesco dan Unicef. Tujuh bengkel serentak diadakan membincang berbagai-bagai persoalan mengenai pelajaran kepelbagaian.

Senator Heng berkata Kementeriannya dalam usaha memenuhi kehendak pelbagai golongan, telah menjalankan program menampung mereka itu termasuk menyediakan pusat untuk kanak-kanak cacat, taman bimbingan kanak-kanak, latihan vokesional serta asrama untuk kanak-kanak nakal.

Kementeriannya juga berasa bertanggung jawab meningkatkan taraf kehidupan kanak-kanak berisiko untuk mencapai potensi sebenar mereka. Beliau mengalukan kerjasama dengan UKM dan lain-lain institusi pengajian tinggi untuk berkongsi pengalaman dan maklumat bagi mengadakan kajian yang memberi kesan.

Beliau juga berkata kepelbagaian mempunyai hubung kait dengan konsep 1Malaysia yang berteraskan kepada konsep berlaku adil kepada semua dalam mana tiada siapa pun akan berfikir bahawa mereka dipinggirkan.

 

Satu cara menangani kepelbagaian pelajaran secara berkesan adalah dengan meningkatkan mutu sekolah kebangsaan melalui program latihan guru yang menghendaki guru bersikap lebih sensitif terhadap pelajar mereka yang mempunyai pelbagai latar belakang dan kebolehan.

Beliau mengucapkan tahniah kepada UKM khususnya Fakulti Pendidikan kerana berjaya menghadapi masalah itu melalui Pusat Kepelbagaian  Kecemerlangan Pelajar, iaitu program Pintar, program prasekolahTunas Permata dan Pusat autistik yang telah membuka jalan kepada UKM mengambil peranan besar menangani persoalan kepelbagaian pembelajaran.

Dalam ucapan aluannya, Timbalan Naib Canselor  UKM, Prof Tan Sri Dato’ Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabuddin berkata UKM telah pun mengadakan program bersangkutan dengan kepelbagaian pelajar  diperingkat ijazah dan pasca ijazah.

UKM juga merupakan universiti pertama dalam negara mengadakan program Ijazah dalam Pembelajaran Istimewa bersangkutan dengan kepelbagaian pelajar yang merangkumi pelajaran untuk kanak-kanak terpinggir seperti kanak-kanak pintar dan kurang upaya. Ucapannya telah dibacakan oleh Dekan Fakulti Pendidikan, Prof Datin Dr Siti Rahaya Ariffin.

Sebagai sebuah universiti penyelidikan, UKM memberi keutamaan kepada penyelidikan berimpak tinggi supaya hasilnya boleh dijadikan input oleh mereka yang membuat keputusan. Antara penyelidikan yang dilakukan Pusat Kepelbagaian Pelajar ialah mengenai pelajar pintar, pelajar yang mempunyai kepintaran yang pelbagai selain dari yang terpinggir, tambah beliau.