UKM dan MPC jalin kerjasama untuk tingkatkan kualiti dan produktiviti

KHAMIS, 28 OKTOBER 2010 16:44

Oleh Basir Bahir
Foto Ikhwan Hashim (Penerbit UKM)

Petaling Jaya, 28 Okt. 2010 –  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ) akan bekerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk meningkatkan kualiti dan produktivitinya melalui lima rangka kerja am yang telah digariskan bersama. Rangka kerja am itu meliputi bidang pengajaran dan pembelajaran; penggunaan kemudahan; program sangkutan; penyelidikan dan kajian kes serta program pensijilan.

Suatu Perjanjian Persefahaman telah ditandatangani di sini hari ini antara UKM dan MPC untuk mengadakan kerjasama itu. Ia di tandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) UKM, Prof. Dr. Saran Kaur Gill dan Timbalan Ketua Pengarah II MPC, Encik Abdul Latiff Abu Seman, disaksikan oleh Ketua Pengarah MPC, Encik Mohd Razali Hussain.

Prof Saran Kaur berkata UKM mengalu-alukan MPC dan pihak industri yang terlibat untuk menyertai sebarang aktiviti di dalam kampus dan memuji usaha pihak Fakulti Sains dan Teknologi untuk melibatkan para pensyarah dan para pegawai MPC  mengikuti program sangkutan “Cross-Fertilization” serta menyediakan latihan industri dan praktikal kepada para pelajar untuk tempoh satu semester.

Encik Razali dalam ucapannya menganggap hubungan kerjasama mereka amat istimewa kerana ia telah dimulakan sejak tahun 1996 lagi melalui kerjasama MPC dan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat melakukan tinjauan bersama bagi menyediakan data dalam bidang automotif dan robotik.

Melalui kerjasama terbaru ini, pihak MPC berharap dapat membantu pihak kerajaan dalam menjayakan Model Ekonomi Baru dan Program Transformasi Ekonomi khususnya dalam bidang inovatif.

UKM dan MPC akan terlibat dalam dua program iaitu Program Pembangunan “Productivity Specialists” dan Program Pembangunan “Research Tools & Techniques”. Ini termasuk penyertaan dalam persidangan dan seminar menerusi Program Perkongsian Ilmu: Produktiviti dan Daya Saing.

 

Selain itu, menerusi kerjasama ini, kegiatan penyelidikan dan kajian kes berasaskan isu berkaitan produktiviti, kualiti, daya saing dan inovasi di industri akan melibatkan para pelajar di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah berdasarkan senarai kajian-kajian kes yang disediakan oleh pihak MPC.

Para Pelajar dan para pensyarah UKM juga akan turut terlibat dalam Program Persijilan penggunaan Perisian COMPASS. Di mana mereka akan diberi latihan selama dua hari untuk memahami perisian COMPASS dan menggunakan perisian tersebut di syarikat-syarikat yang akan dikenal pasti.

Selesai laporan produktiviti mereka yang menggunakan perisian COMPASS akan layak menerima Sijil Penggunaan Perisian COMPASS itu.