Anak yatim, penduduk kampung angkat meriahkan jamuan raya UKM

SABTU, 25 SEPTEMBER 2010 08:53

Oleh Abdul Ghani Nasir

BANGI, 24 September, 2010 – Majlis Jamuan Raya Aidilfitri 1431H UKM  di Dectar, pagi ini disambut meriah dengan penyertaan ramai warga UKM dan barisan jemputan dan tetamu khas terdiri dari anak-anak yatim dan 20 orang penguhuni asal Bangi Lama.

Satu majlis penyampaian cek sumbangan zakat daripada UKM Holdings Sdn. Bhd., UKM Kesihatan Sdn Bhd. dan UKM Pakarunding Sdn. Bhd telah dilangsungkan sebelum jamuan dijalankan.

Prof. Datuk Ir. Dr. Hasan Basri Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Akademik dan Antarabangsa UKM selaku Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Pakarunding Sdn Bhd menyampaikan replika cek berjumlah RM179,000 kepada Naib Canselor, Prof Tan Sri  Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Turut diraikan adalah anak-anak yatim daripada Rumah Anak Yatim Sungai Pinang, Klang dan Rumah Anak Yatim Nur Hikmah, Kajang yang turut diberikan ‘duit raya’.

Cenderahati juga diserahkan kepada wakil penduduk Kampung Angkat UKM iaitu Kampung Kundang Ulu Ledang, Johor; Kampung Pulau Manis Pekan, Pahang dan 20 penduduk asal Bangi Lama.

Selain juadah tradisional Melayu seperti lemang, rendang, lontong, sate, turut dihidangkan adalah kuih muih dibuat daripada ubi kayu dan juga ubi rebus disajikan dengan ikan masin dan sambal ikan bilis. Ini termasuklah Bingka Ubi Wan Ramli, Lepat Ubi Alauddin dan Getok Ubi Ibrahim Komoo.