Seminar Web pertama antara PPUKM dan Harvard Medical School

JUMAAT, 24 SEPTEMBER 2010 14:27

BANGI, 24 September  2010 – Buat pertama kalinya satu seminar melalui televideo telah berjaya diadakan antara Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan Harvard Medical School, Boston USA semalam.

Seminar yang dianjurkan oleh Massachussetts Eye and Ear Infirmary, Harvard Medical School dipancarkan secara langsung bagi membolehkan ahli-ahli Jabatan Otorinolaringologi PPUKM menyertainya melalui sidang televideo. Acara ini akan dijadi suatu acara bulanan antara PPUKM dan Harvard Medical School.

Ia telah membolehkan ahli-ahli Otorinolaringologi yang memberi rawatan perubatan dan pembedahan bagi masalah telinga, hidung, tekak dan leher bertukar maklumat terkini dalam bidang itu.

Seminar itu di pengerusikan oleh Professor Saumil Merchant bagi pihak Harvard Medical School dan diselaraskan oleh Prof  Dato Dr. Lokman Saim, Pengarah Pusat Perubatan UKM bagi pihak Jabatan Otorinolaringologi PPUKM.

Ia telah membincangkan isu-isu kliniko-patologi yang mengkaji cecair dalam tubuh. Antaranya kes pesakit yang mengidap hemosiderosis dimana terdapat peningkatan tissue Iron bagi mereka yang mengalami kepekakan sensorineural dan menjalani implant koklear.

Seminar itu turut dihadiri oleh pelajar-pelajar pascasiswazah Jabatan Otorinolaringologi. Ia juga disertai oleh beberapa universiti lain seperti University of Minnesota, House Ear Institute Los Angeles, University of Hawaii dan  University of Brasilia, Brazil.

Penganjuran seminar seperti ini adalah salah satu usaha PPUKM untuk meningkatkan kerjasama antara PPUKM dan universiti tersohor dunia seperti Harvard Medical School, Harvard University, kata Prof Dato’ Lokman yang juga Dekan Fakulti Perubatan UKM.  Ia diharapkan dapat meningkatkan prestasi pengajaran pascsiswazah dalam bidang otorinolaringologi di PPUKM.