UKM Johan Pertandingan Pidato Karnival Anti-Jenayah 2010

JUMAAT, 30 JULAI 2010 00:00

Oleh Nur Azimah Mahmood

BANGI, 30 Julai 2010 – Mohd. Khalis Khalid dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) muncul johan dalam Pertandingan Pidato Karnival Anti-Jenayah IPTA 2010, pada 28 Julai 2010 dengan membawa isu ‘Pemantapan Jati Diri Mahasiswa Penawar Kepada Masalah Jenayah’.

Beliau menekankan betapa pentingnya diterapkan ilmu pengetahuan sebagai pedoman dan pegangan hidup di kalangan mahasiswa hari ini memandangkan cabaran dan dugaan persekitaran yang penuh dengan pelbagai dugaan dan ketidaktentuan.

Apa yang pasti, katanya kepada hadirin di Sudut Pidato Teres Eko Niaga UKM, adalah selain mendukung undang-undang mahasiswa juga patut membantu usaha mengekang jenayah terutama melibatkan rakan sebaya.

Malah dalam kehidupan sehari-hari mahasiswa tidak boleh lari daripada menghadapi keadaan yang mencabar kewibawaan mereka dan tidaklah wajar mereka berpeluk tubuh saja melihatkan keadaan sekitar yang semakin membimbangkan.

Dengan persekitaran yang nyaman dan tenteram sajalah, masyarakat dapat hidup aman damai dan mahasiswa pula dapat belajar dengan tenang dan tekun.  Namun tidak syak lagi mendapat gred yang baik setiap kali peperiksaan tetap menjadi matlamat mereka,katanya.

Ini adalah julung-julung kali Sudut Pidato digunakan dan bergema dengan suara lantang mahasiswa berbicara tentang kegusaran mereka terhadap kejadian jenayah yang dikhuatiri tidak dapat dikawal.

Disaksikan oleh pemidato, penyokong-penyokong serta tetamu kehormat iaitu Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Dato’ Dr. Mohamad Abdul Razak, pertandingan itu tidak syak lagi berjaya mengetengahkan bakat-bakat baru daripada kalangan mahasiswa.

Pada pertandingan itu, selain wakil UKM, pelajar empat lagi universiti turut serta dalam mengemukakan cadangan mengatasi isu jenayah dan betapa perlunya usaha pelbagai peringkat masyarakat tidak kurang juga pelajar membantu mengatasinya.

Tempat kedua dimenangi Mohamad Azri Naim Mohd. Kamal dari Universiti Sains Malaysia (USM) dengan isu ‘Mahasiswa Kini Sudah Bersedia Berhadapan Dengan Jenayah Moral’ dan tempat ketiga Amirrudin Abdul Rahman dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang memperkatakan isu ‘Peningkatan Jenayah Bukti Kegagalan Pembinaan Modal Insan’.

Johan membawa pulang RM500, naib johan RM300 dan pemenang ketiga  RM150. Peserta lain diberi saguhati RM100 setiap seorang berserta sijil penyertaan.

Penghakiman dibuat tiga  juri yang merupakan alumni dan pegawai debat IPTA iaitu Mohd. Tarmizi Hussein,  Khairul Afsan Abu Bakar dan Cik Najwa Ahmad Zawawi.

Setiausaha Majlis Debat Universiti-universiti Malaysia (MADUM), Encik Zameri Ramli berpendapat kewujudan semula sudut pidato di IPTA  adalah wajar bagi membolehan mahasiswa menjadikannya sebagai pentas mengetengahkan apa sahaja isu dan idea yang ingin diperkatakan.  Ia juga secara tidak langsung membawa kepada aktiviti yang sihat, tambahnya.

Rata-rata pelajar dan hadirin pada majlis itu mengucapkan tahniah kepada UKM kerana sekali lagi berjaya menjadi pelopor dalam mewujud dan menghidupkan semula Sudut Pidato yang diharapkan dapat menghidupkan kembali era 70-an di mana mahasiswa dengan bebas menyuarakan pandangan dan pendapat mereka dan bukan pada masa-masa tertentu saja.