Apakah Transformasi Bahasa Oleh Teknologi Digital Diingini?

Oleh Shahfizal Musa
Foto Ikhsan FSSK

BANGI, 11 April 2012 – Revolusi digital bukan saja telah merombak pelbagai bidang dunia teknologi tetapi telah juga menjejaskan perlakuan sosial dan penggunaan gaya bahasa.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin yang berkata demikian menyebut bagaimana teknologi sekarang telah membawa kepada perlakuan di mana ramai kini kurang bercakap secara bersemuka tetapi sebaliknya menggunakan teknologi komunikasi sebagai perantaraan.

Berucap ketika merasmikan Persidangan Linguistik 2012 di sini semalam, beliau berkata “kita kini berSMS, menggunakan email, berbual dengan blackberry dan bertweeter”.

Dan dalam menggunakan alat komunikasi baru ini kita mengambil jalan singkat dengan menggunakan bahasa ringkas kerana pesanan kita terbatas oleh jumlah abjad yang boleh digunakan.

Bertemakan Transformasi dan Inovasi dalam Linguistik, persidangan dua hari yang berakhir hari ini di hadiri peserta dari Indonesia, Hong Kong, Emiriah Arab Bersatu, Singapura serta beberapa buah negara Afrika dan Malaysia.

Persidangan itu dianjurkan oleh Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik Fakulti Sains Sosial dan telah membincang perkembangan semasa dalam bidang linguistik.

Prof Sharifah Hapsah berkata gaya bahasa baru ini tidak digemari golongan generasi lama kerana ia mengorbankan kecantikan bahasa demi kepantasan.

Walaupun gaya bahasa ini dianggap tidak betul tetapi ia memberi nilai kepada pengguna. Ia membantu usaha menyampaikan pesanan dengan lebih pantas, ringkas dan spontan, tambah beliau.

“Melalui peredaran masa, transformasi bahasa ini akan menjadi lebih nyata. Tetapi apakah ia suatu inovasi? Kepada generasi muda ia sememangnya suatu inovasi.”

Perkembangan ini tidak dapat dielakkan kerana bahasa adalah sesuatu yang dinamik tetapi beliau menimbulkan persoalan apa akan terjadi kepada kosa kata, tatabahasa dan sebutan pada masa hadapan.

Beliau menyeru persidangan memberi perhatian serius kepada perkembangan bahasa pantas demikian itu. Ini kerana bahasa adalah asas kepada kefahaman dan pembelajaran.

Turut hadir di persidangan ialah Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Profesor Dr Hazita Azman dan Pengurusi Persidangan, Prof Madya Dr Norsimah Mat Awal.