Pasukan Futsal Wanita UKM Tempat Ketiga di Kejohanan MASUM

Oleh Nurazimah Mahmood

Foto oleh Junaidah Omar, Pusat Sukan UKM

KUCHING, 16 April 2012- Ketiga-tiga pasukan UKM yang menyertai Kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) di kampus Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini minggu lalu berjaya menjuarai peringkat kumpulan masing-masing.

Bagaimana pun hanya pasukan futsal wanitanya yang berjaya ke separuh akhir mengalahkan pasukan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) tetapi telah kalah kepada pasukan Universiti Malaya (UM) untuk mendapat tempat ketiga.

Dua lagi pasukannya, futsal lelaki dan tenis lelaki kalah diperingkat suku akhir masing-masing kepada pasukan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dan pasukan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

MASUM (2012) fasa pertama itu berlangsung di sini minggu lalu dengan disertai hampir 2000 atlet dan pegawai dari 20 buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam lapan jenis sukan bagi kedua-dua lelaki dan wanita.

Timbalan Ketua Kontigen UKM, Dr Tajul Arifin Muhamad berpuas hati dengan pencapaian kali ini memandangkan UKM hanya menghantar 40 orang atlet sahaja.

Beliau yakin pencapaian pasukan futsal UKM akan lebih baik apabila UKM dapat menyediakan gelanggang futsalnya sendiri yang sesuai untuk berlatih.

Fasa kedua Kejohanan MASUM akan berlangsung di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Ir Dr Othman A Karim mengtuai Kontigen UKM.