Kejatuhan Mesir Dan Kenaikan Tamadun Eropah

JUMAAT, 28 DISEMBER 2012 16:40

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

BANGI, 21 Dec 2012 – Mesir yang pada satu masa dahulu maju dalam pelbagai bidang industri dan sains telah mengalami kemerosotan akibat tidak mampu untuk bersaing dengan inovasi dan kemajuan sains di Eropah.

Sejarah industri di Mesir dan juga di Eropah bukan sahaja mencatatkan suatu pertembungan antara tamadun Islam dan Barat, tetapi juga ‘supremacy’ dan monopoli perdagangan oleh Eropah sejak akhir abad ke 15 Masihi setelah sekian lama sektor ini dikuasai oleh Mesir.

Demikian kata seorang pakar Sejarah dan Tamadun Islam dari Institut Kajian Rantau Asia Barat, UKM (IKRAB), ProfesorDr. Wan Kamal Mujani dalam Syarahan Umumnya bertajuk Industri Mesir lawan Industri Eropah: Dari Interaksi ke Pertembungan Tamadun di sini hari ini.

Syarahan yang memfokuskan kepada zaman Mamluk di Mesir ini dianjurkan oleh Kumpulan Penyelidikan Interaksi Tamadun dengan kerjasama Jabatan Pengajian Arab danTamadun Islam (JPATI), FakultiPengajian Islam (FPI) dan IKRAB.

Pada zaman kegemilangan kesultanan Mamluk, kata Prof.Dr. Wan Kamal, Mesir menjadi tumpuan para pedagang dan saudagar Eropah yang mahu membeli barangan industri buatan umat Islam dan impaknya Mesir mendapat keuntungan yang banyak daripada aktiviti perdagangan dengan para saudagar Eropah tersebut.

Pada awal zaman pemerintahan Mamluk dan juga zaman sebelumnya iaitu kesultanan Fatimi dan kesultanan Ayyubi, Mesir begitu maju dalam bidang sains dan industri. Eropah pada masa itu masih beradadalam Zaman Kegelapan (Dark Ages). Pada masa itulah negara-negara Eropahbanyak mengimport barangan dari wilayah-wilayah Islam, khasnya Mesir. Antara komoditi buatan Arab yang diidamkan oleh orang Eropah ialah hasil tekstil seperti kain kapas dan sutera, gula, pelbagai jenis kertas, sabun, tembikar porselin, barangan tembaga dan banyak yang lain.

Pada waktu itu, Eropah masih belum dapat menghasilkan barangan tersebut. Oleh itu adalah lebih wajar bagi Eropah mengimport barangan itu daripada menghasilkannya sendiri kerana mereka belum mengetahui inovasi dalam industri dan kaedah pengeluaran sektor pembuatan secarabesar-besaran.

Bagaimanapun, apabila Eropah melalui zaman kebangkitan dan revolusi industri pada lewat abad ke 15, keadaan industri di negara-negara Islam masih tidak banyak berubah. Mereka masih mengekalkan kaedah lama dalam sektor perindustrian yang mengakibatkan barangan yang dihasilkan agak kurang berkualiti di samping jumlah pengeluaran yang terhad.

Eropah yang telah mencipta beberapa inovasi kejuruteraan dalam sektor industri dengan pesat akhirnya berjaya menyaingi dan mengatasi industri di negara-negara Islam. Akibatnya, negara-negara Islam mula mengimport barangan industri Eropah yang lebih murah dan berkualiti.

Perlu juga diketahui bahawa Eropah banyak belajar daripada negara Islam pada peringkat awal dalam bidang perindustrian dan kemudiannya mereka berjaya mengembangkannya dengan membuat pelbagai inovasi baru dalam bidang perindustrian. Ini jelas dapat dilihat dalam sektor pembuatan kaca yang mana pada awalnya masyarakat Eropah mempelajarinya di Timur Tengah dan kemudiannya ‘mengembangkannya’ di Barat.

Prof Dr Wan Kamal berkata era kegemilangan Mesir pada zaman Mamluk adalah pada zaman Mamluk Bahri atau Mamluk Turki (Turkish Mamluk). Asalnya mereka adalah hamba berketurunan Turki yang telah dibeli dan kemudiannya dikerah berkhidmat sebagai tentera dalam kesultanan Ayyubi. Mereka kemudiannya telah mengambil alih takhta dan menubuhkan kesultanan Mamluk.

Manakala Mamluk Burji atau Mamluk Jarkash (CircassianMamluk) pula berasal dari kawasan Caucasia yang kini terletak di Rusia. Mereka juga adalah hamba yang telah dimerdekakan dan kemudiannya berkhidmat sebagai tentera pada zaman Mamluk Bahri sehinggalah mereka mengambil alih pemerintahan dan mengasaskan pemerintahan Mamluk Burji.

Sejarah mencatatkan mereka sebagai pahlawan yang gagah dan cekap dalam pertempuran sebagaimana juga dengan strategi peperangan. Keupayaan dan kebolehan Mamluk dalam aspek politik, ekonomi dan sosial dapat dilihat menerusi kelangsungan dan kesinambungan kerajaan ini yang mampu bertahan hampir selama 250 tahun.

Kesultanan Mamluk berakhir apabila ia tewas di tangan Uthmaniyyah pada 1517 dan sejak itu Mesir berada di bawah pengaruh Uthmaniyyah. Ia berterusan untuk selama beberapa ratus tahun sehinggalah kedatangan Napoleon Bonaparte di Mesir pada 1798 yang menandakan bermulanya penjajahan negara Eropah ke atas bumi Mesir.

Prof Wan Kamal berkata penyelidikan mengenai perkembangan dan kegemilangan tamadun begitu banyak ditulis dan diperkatakan serta dibincangkan. Namun, aspek persaingan antara tamadun seperti industri Mesir dan industri Eropah agak jarang-jarang dibincang.

Di sinilah terletaknya kepentingan penyelidikan seperti ini untuk dilaksanakan untuk melihat bagaimana tamadun-tamadun ini bersaing antara satu sama lain dan bagaimana sesebuah tamadun itu berjaya menenggelamkan atau meminggirkan tamadun yang lain.

Beliau telah membuat beberapa kajian mengenai Sejarah Ekonomi Timur Tengah, Mediterranean dan kawasan Levant, termasuk penyelidikan tentang Historiografi Islam serta Sejarah dan Tamadun Islam Zaman Awal dan Pertengahan.

Salah satu projek penyelidikan beliau mengenai Mamluk di Mesir, dengan tajuk The Economic Decline of the Circassian Mamluks in Egypt telah memenangi ‘BRISMES Research Award’ di United States.