Malaysia Mungkin Hadapi Gangguan Bekalan Eletrik Dan Telekomunikasi Akibat Ribut Solar

KHAMIS, 06 DISEMBER 2012 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

Foto Izwan Azman

BANGI, 4 Dis 2012 – Malaysia dan kawasan lain di Khatulistiwa mungkin mengalami gangguan bekalan elektrik, telekomunikasi dan perkhidmatan perbankan tertentu hingga 2015 kerana ribut solar.

Professor Ir Dr Ahmad Faizal Mohd Zain dari Institut Sains Angkasa (ANGKASA) di UKM berkata data yang diperolehi penyelidik universiti itu yang juga disahkan oleh sumber-sumber lain, menunjukkan nyalaan suria akan berlaku lagi selepas dikesan sebelas tahun lalu.

Malah suar (pancaran) yang terkini berlaku pada Hari Merdeka lalu tetapi kebanyakan orang tidak menyedarinya kerana suar itu tidak memancar ke arah bumi, tambah beliau. Data yang diterimanya dari Agensi Kebangsaan Aeronautik dan Angkasa Amerika Syarikat (NASA) mengesahkan fenomena itu pada 31hb Ogos lalu.

Apabila letupan atau ribut solar berlaku pada masa lalu, rakyat Malaysia tidak perasan gangguan siaran televisyen, statik di radio dan gangguan penerimaan telefon bimbit. Beliau berkata tidak ramai yang sedar fenomena demikian ada hubung kait dengan aktiviti matahari.

Beliau berkata pengguna alat komunikasi di Malaysia mungkin mengalami gangguan dalam penerimaan perkakas mereka. Satu pasukan petugas telah ditubuhkan di UKM untuk memantau  puncak atau ketinggian suar solar.

Prof Faizal yang juga Felo Utama Bersekutu ANGKASA, telah membentangkan hasil penyelidikannya di suatu seminar ANGKASA mengenai Sains Atmosfera hari ini.

Beliau berkata Sistem Penentukedukan Global (GPS) akan menjadi kurang tepat kerana sejumlah besar pengionan disinarkan keluar dari matahari. Apa sahaja yang menggunakan sistem elektronik dan peralatan komunikasi satelit akan terjejas, termasuk Mesin Juruwang Automatik (ATM) bank.

Matahari, katanya, mengalami suatu kitaran setiap 11 tahun dan akan menghampiri puncak 24 kitaran tahun depan. Apabila semakin hampir ke puncak itu, suar akan menjadi lebih kuat.

 

Walau bagaimanapun, menurut NASA, kitaran kali ini mungkin tidak begitu kuat kalau dibandingkan dengan catatan daripada kejadian masa lampau. Antara tahun 2008 dan 2010, saintis merakamkan penyurutan yang paling rendah bagi aktiviti suria dalam masa 100 tahun.

Mungkin kitaran 25 agak lemah, menurut teori pakar fizik matahari NASA David Hathaway yang mencadangkan bahawa aktiviti dalaman matahari sebenarnya melambatkan atau mengganggu seluruh kitaran suria menjelang tahun 2022.

Namun demikian, Prof Faizal menerangkan bahawa prasarana bekalan elektrik kita tidak direkabentuk untuk menahan fenomena demikian. Apatah lagi kita semakin bergantung pada teknologi komunikasi dan ini menimbulkan kebimbangan yang suar matahari boleh mengganggu fungsi peralatan elektronik.

Di angkasa lepas, aktiviti matahari yang kuat boleh merosakkan satelit dan membahayakan angkasawan. Penumpang pesawat yang terbang di sepanjang laluan kutub utara dan selatan juga mungkin mengalami pancaran radiasi yang lebih tinggi.

Beliau berkata suar solar boleh membawa banyak kesan yang berbeza di bumi serta pada penerokaan angkasa. Pancaran X-ray yang “keras” dari suar, serta pancaran proton bercas tinggi, atau “ribut proton”, boleh mengancam angkasawan dan kapal angkasa.

Pancaran X-ray “lembut” memasuki ionosfera bumi dan boleh mengganggu komunikasi radio. Sinaran Lampau Unggu atau Ultra-Violet dan sinar X juga menyebabkan atmosfera menjadi lebih panas. Ini mewujudkan seretan pada satelit yang berada dalam orbit bumi yang rendah dan boleh mengurangkan jangka hayat satelit.

Nyalaan atau suar suria mula diperhatikan pada matahari oleh Richard Christopher Carrington dan disahkan oleh Richard Hodgson pada tahun 1859 sebagai tompok-tompok yang bersinar pada permukaan matahari.

Dari segi sejarah, salah satu peristiwa terbesar adalah Luapan Carrington pada tahun 1859, yang menyebabkan Cahaya Kutub Utara bumi dilihat sejauh sehingga kepulauan Puerto Rico dekat Khatulistiwa. Ia mengganggu perkhidmatan telegraf di seluruh dunia. Malah, pengendali telegraf di pantai timur Amerika Syarikat mendapati kuasa elektrik sangat kuat sehinggakan mesej boleh dihantar tanpa pengunaan bateri.

Prof Faizal kini berkhidmat sebagai Profesor di Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, Universiti Malaysia Pahang (UMP). Penyelidikan beliau memberi tumpuan pada Sains Radio dan Perambatan, Antena, Frekuensi Elektronik Radio, dan GPS.

Beliau memperolehi ijazah PhDnya dari Pennsylvania State University pada tahun 1990, untuk kajiannya mengenai ionosfera di latitud tinggi. Beliau telah bekerja dengan sebuah syarikat perintis (start-up) NASA di Baltimore, Maryland, Amerika Syarikat, di mana beliau membantu membangunkan peranti telemetri untuk mengkaji ionosfera.

Beliau juga merupakan ahli pengasas konsortium mikrosatelit pertama di Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1992. Selepas itu, beliau dilantik Profesor Kejuruteraan Elektrik dan Ketua Pusat Wireless dan Sains Radio (WARAS) di Universiti Tun Hussein Onn.